Tuesday, 30 October 2012

Ciptaan-Mu ......

Allah menjadikan manusia ini secantik-secantik kejadian. Tetapi apabila manusia engkar kepada Penciptanya dia akan menjadi manusia paling buruk melainkan mereka yang beriman kepada Allah. Cantik itu tidak memadai andai tidak bertakwa kepada Allah azawajalla.

Teori Darwin yang mengatakan manusia ini berasal dari monyet tidak berasas. Teori ini sebenarnya bercanggah dengan firman Allah yang bermaksud Dia menjadikan manusia ini sebaik-baik kejadian atau secantik-secantik kejadian. Justeru  itu teori yang paling baik untuk kita rujuk ialah Al Quran.

Allah berikan hidayah fitrah (semula jadi) kepada makhluknya. Contoh hidayah ini- kucing yang menghidu mencari makanan. Yang tidak berkaitan tidak akan dimakan contohnya rumput... Tetapi hidayah akal hanya manusia sahaja yang ada. Inilah yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Inilah keistimewaan manusia.

Kita perlu mengenal pasti semua makhluk ciptaan Allah agar kita mengetahui fungsi kehadiran kita di muka bumi . Malaikat merupakan ciptaan Allah yang patuh dan taat kepada Allah 100% . Manusia diciptakan semata-mata untuk menegakkan agama Allah dengan pengabdian diri kepada -Nya selain untuk memakmurkan muka bumi ini.

Mukhallaf  maksudnya yang diberi tanggung jawab. Manusia mukhallaf. Maksudnya manusia diberi tanggung jawab. Selain manusia jin juga mukhallaf. Dua makhluk ini diberi pilihan oleh Allah untuk mencari jalan yang benar dalam menuju redha-Nya. Neraka atau syurga.

Manusia merupakan makhluk akhir ciptaan-Nya. Manusia akan sesat andai memohon perlindungan selain dari Allah. Doa kita moga Allah beri kita kekuatan akidah. Jauhkan kita dari kemurkaan-Nya dan jauhkan kita dari azab api neraka.Insyaallah....

Sunday, 28 October 2012

Aidil Adha 2012

Dua hari lalu jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.
Segala hal keduniaan tidak lagi 'berguna'. Sebaliknya semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati masing-masing  dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul Jalil.
Semasa wukuf, Allah berada paling hampir dengsn hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya . Pada hari Arafah juga Allah meluaskan rahmat-Nya dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada siksaan api neraka

Sunday, 21 October 2012

Jalan-Jalan


Jumaat lepas ke zoo melaka dengan Aan,Haziq dan menantu,Hazelan.
Sunyi aje zoo tu sebab tak ada banyak binatang. Rasa rugi aje. Bayaran masuk boleh tahan mahalnya. Tak berbaloi dengan apa yang dilihat. Kebetulan hari tu ialah "Hari Tapir" tetapi tak nampakpun tapir. Kelakarnya......

Yang banyak bergayut dekat pokok-pokok besar  ialah monyet liar. Menakutkan....... Setahu ibu monyet suka akan kaum wanita....

Setelah separuh perjalanan, barulah tramp kelihatan. Kami naik walaupun terpaksa  membayar dengan harga yang agak tinggi juga. Kami dah tak larat bergilir-gilir mendukung Haziq.

Haziq gembira dapat melihat zirafah dan harimau. Ibu dan Aan gembira kerana dapat menambah koleksi fridge magnet kami. Itulah kegilaan kami berdua yang  dikongsi oleh kak long juga.

Hujan oh hujan ......

Sejak pagi tadi hujan turun tanpa henti. Hujan tu rahmat dari Allah swt. Jangan dipertikaikan. Ingatan ni untuk ibu jua........

Pagi-pagi lagi ibu dah bereskan semua kerja rumah termasuklah memasak untuk lunch. Aan pulang awal kerana bertugas tengah hari. Jadi ibu pack lunch untuk dia dan hubbynya. Tak perlu dia masak nanti. Journey ke rumahnya ambil masa  satu jam setengah lebih kurang. Kesian nanti tergopoh-gapah pula. Ayapun bekerja hari ni.

Jadi sepanjang tengah hari bersama cucu sahaja. Cuaca sejuk. Apa lagi kami berdua menghabiskan masa atas katil aje. Haziq dengan gamenya. Ibu membaca buku yang baru ibu beli. Sekali-sekala haziq mengganggu. Sekejap air Ribena. Sekejap lagi susu pula. Sekejap turun menonton kartun. Lepas tu naik atas katil pula. Akhirnya ibu mengalah. Bangun terus ke ruang tamu menonton kartun bersama Haziq. Nasib baik ada cucu. Kalau tidak bosan juga tinggal sendirian ni.

Dulu masa anak-anak masih kecil, sibuknya tak terkata. 24 jam yang Allah kurniakan tu macam tak cukup-cukup. Sampaikan waktu tidur, minda masih bekerja, menyusun strategi untuk hari esok pula. Waktu bersama anak- anak dalam kereta merupakan waktu paling berkualiti. Masa itulah nak beri nasihat, masa itulah nak berleter. Sambil memandu sambil bercakap . Tak henti- henti bersyarah sampaikan jadi bahan gurauan anak-anak.

Di luar masih hujan. Sudah larut malam. Haziq yang masih aktif sedang sibuk membelek-belek buku dari rak buku ibu. Itulah aktiviti terbarunya. Atuk Haziq??????  Dah selamat sampai ke bulan...... siap berstokin dan berkardigan. Macam orang dalam pantang....khikhi....khi...
Selamat malam suamiku....mudah-mudahan kita diketemukan lagi fajar esok , insyaallah.

Friday, 19 October 2012

Bisikan hati...♥♥♥

Sedang khusyuk melipat telekung terdengar bunyi rintik-rintik hujan di luar. Berlarilah ibu ke luar . Bukan apa nak selamatkan jemuran di ampaian. Ternampak bos (suami ibulah ) sedang khusyuk membaca akhbar. Ya Allah !!! Boleh tak perasan hujan tu? Relaks aje dia. Sabar....sabar... Nak marah tapi teringat artikel yang baru dibaca. Nabi ditanya mengapa kaum wanita yang paling banyak dalam neraka. Jawapannya mudah.... Kaum wanita suka  mencemuh dan mengingkari suami.
Sambil berlalu, terpacul soalan , tak nampakke hujan? Nak juga tu melepaskan geram. Suami ibu mengangkat kepalanya sambil tersenyum menoleh ke arah ibu. Cepat-cepat ibu berlalu. Takut tersilap respon...

Itulah kelebihan kaum wanita yang bergelar isteri dan ibu. Allah yang maha mengetahui dan maha bijaksana. Walaupun kehebatan kaum lelaki memang tidak dapat kita nafikan tetapi sebagai hamba Allah mereka tetap insan kerdil di sisi-Nya. Kelemahan mereka yang bergelar suami dibantu isteri yang berada di sisi.

Teringat ibu kepada adik lelaki ibu yang sedang menerima rawatan di hospital pakar Seremban. Semalam ibu dan suami menziarahi beliau. Memandangkan dia masih berada dalam unit HD, ibu keberatan nak ziarah hari ni. Adik ibu ni tak suka cakap banyak, cepat melenting tetapi ibu tahu hatinya baik. Dia adik dan suami yang manja. Ibu tahu sebab dia adik ibu yang paling rapat dengan ibu. Masa kecil, ibulah yang menguruskan keperluannya. Apabila dewasa menetap bersama ibu. Kini setelah berkeluarga kami tinggal setaman. Dia bertuah memiliki isteri yang sangat baik hati, penyabar dan sangat mengasihinya. Apabila melihat bagaimana isterinya memujuk, melayan dan sentiasa memberi dia semangat tersentuh hati ibu. Kalaulah dia tidak memiliki isteri yang sehebat itu, ibu tak tahulah macam mana perjalanan hidup dia. Bayangkan lelaki ini, di pejabat merupakan seorang pengurus yang berkaliber dan disegani tetapi di sebalik itu, dia memerlukan seorang wanita penyejuk hati dan penenang jiwa. Itulah rahsia Allah.

Teringat pula ibu ceramah Prof. Dr Muhaya. Salah satu tujuan kita hidup di muka bumi ni ialah sebagai khalifah .
Firman Allah yang bermaksud :  Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguh Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.
( surah al-Baqarah :30 )
Besar tanggung jawab dan amanah khalifah ni. Maklumlah nak memakmurkan muka bumi ni. Selain daripada bertanggung jawab kepada maha Pencipta, bertanggung jawab sesama makhluk dan alam sekitar.
Oklah permata hati.... Ibu dah beri intro..carilah info tambahan untuk menambah ilmu.

Thursday, 18 October 2012

Hati ini

Alhamdulillah dikurniakan umur lagi untuk meneruskan rutin harian. Hari ni Khamis 2 Zulhijjah ibu berpuasa sunat. Mudah2an diberikan kekuatan untuk mengharungi kehidupan sepanjang hari ini.

Seperti orang lain yang pernah berada di Tanah Suci, bulan ini sentiasa membawa nostalgia kepada ibu. Pada waktu ini pada tahun 2005 ibu dan suami berada di sana. Hampir 34 hari di Makkah sebelum ke Arafah. Setiap hari berulang-alik ke Masjidil Haram suatu pengalaman yang tidak mudah luput dari ingatan. Setiap saat berada di Arafah sangat mengujakan. Kenangan waktu di sana akan sentiasa mengusik jiwa dan menjadi dambaan setiap insan yang bergelar hamba-Nya untuk ke sana lagi.

Apakah ikhtibar yang ibu peroleh ketika berada di Tanah Suci? Banyak...biarlah ibu simpan  dalam kotak kenangan ibu. Yang baik dijadikan pengajaran dan yang buruk ibu jadikan sempadan dan ibu jauhi.
Apa-apapun segumpal darah yang bergelar hati kurniaan yang Maha Esa ni yang perlu dikawal rapi.

Kata al-lmam Ghazali :
Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui,carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temuinya juga, maka berdoalah  kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.

Jom kita tadah tangan kepada Ilahi mohon ;

"Ya Tuhan kami,janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."
                                                                         Surah Ali-Imran : 8
Amin......

Tuesday, 16 October 2012

Aktiviti orang bosan

Pagi ni lepas buat breakfast untuk suami dan anak bongsu ibu terus ke halaman luar. Tengok rumput dah mula panjang. Mungkin hujan yang kerap menyebabkan cepat panjang rumput tu. Malas juga sebenarnya nak menggunting rumput tu. Aan ada belikan grass trimmer tapi ibu tak suka nak gunakannya. Bukan apa, tak mahir nak kawal alat tu. Habis botak rumput tu. Sayanglah....

Buat kerja sambil mendengar siaran warna pagi dari radio lkim.  Sambil tu jeling-jeling suami yang asyik membaca akhbar di kerusi malas . Suami ibu memang tak pandai trim rumput. Dulu beliau pernah buat sekali. Sakitlah mata pandang hasilnya. Lepas tu ibu tak pernah minta bantuan beliau. Itulah padahnya kalau cerewet sangat. Kena tanggung
sendiri semua kerja. Kalau permata hati senang aje ubatnya. Keluarkan sikit ayat-ayat power, semua siap. Suami tak boleh dileterkan. Nanti lain jadinya....

Sambil trim rumput sambil dengar DJ  tu berinteraksi sesama mereka atau dengan pemanggil. Topik menarik - Ibu bapa hanya liabiliti. Kali terakhir guna perkataan liabiliti masa mengajar akaun kat budak-budak Kemahiran Hidup. Rata-rata pendengar tak setujulah. Wajarlah tu..... Susah payah ibu melahirkan anak-anak daripada rahimnya. Kalau normal birth takpelah juga. Kalau keluar kaki dahulu dan kepala kemudian???

Anak-anak diberi panggilan yang baik-baik aje...permata hati. Ibu dan bapa pula dikatakan liabiliti. Sebenarnya ibu dan bapa tu aset anak-anak. Mudah nak kumpul pahala. Menatap wajah ibu dan bapa aje, anak-anak sudah peroleh pahala apatah lagi membuat kebaikan terhadap mereka. Pesanan ni untuk diri ibu juga sebab ibu masih ada abah. Kami jarang bertemu semenjak mak meninggal. Apabila ada peluang , ibu gunakan sepenuhnya. Baru-baru ni ibu bertemu abah di satu majlis. Kami berbual sambil makan bersama-sama. Kami berdua seolah-olah faham dan mahu menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin. Ini semua gara-gara abah ada suri baru... Apa-papun ibu sentiasa doakan kesihatan abah dan kebahagiaan abah.

Oklah dah hilang penat membersihkan laman depan rumah. Seronoklah tengok hasilnya.

Wednesday, 10 October 2012

Takdir

Tengah hari tadi tak buat apa-apa jadi layan aje siaran wanita hari ini di salah satu stesen tv. Tajuk diskusi  - Ku Tunggu Jandamu..  Tertarik juga dengan isi perbualan antara pengacara, selebriti jemputan dan Ust Jazral Muhammad.

Bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin dengan orang lain pula. Itulah jodoh namanya. Jodoh,rezeki dan ajal adalah rahsia Allah. Allah pencipta langit dan bumi. Apa yang telah direncanakan -Nya pasti ada hikmah. Ibu yakin semua orang Islam tahu akan hal ini. Jadi kena akur dan tidak boleh mempertikaikannya.

Ustaz kata berdosa kalau meruntuhkan rumahtangga orang lain. Andai kata pasangan yang pernah berkasih dahulu mahu mengambil kembali kekasihnya dan tindakannya menyebabkan berlaku penceraian maka itu haram dan berdosa. Melainkan pasangannya memang sudah bercerai ketika mereka bertemu semula.

Hairankan....dah bertahun-tahun berpisah tetapi cinta dan kasih tetap wujud..... Ustaz kata, itu cinta  maut namanya sambil tersenyum . Yang ditakuti pasangan itu memandang bekas kekasihnya dengan pandangan nafsu. Maksudnya dia masih membayangkan karakter pasangannya ketika bercinta dahulu. Mungkin masa itu mereka dalam alam remaja. Sikap manja, penyayang, penggoda dan mcam2 lagilah. Maklumlah orang muda sedang bercinta. Tetapi dia terlupa ketika dia bertemu kembali bekas kekasihnya, kekasihnya dah berumur  40 tahun.....50 tahun atau lebih. Segala-segalanya telah berubah. Justeru itu, saranan ustaz tu patut jadi renungan. Pandanglah dengan pandangan iman.

Andai jodoh kita itu bukan di kalangan orang yang mematuhi perintah-Nya? Cabaran tu........
Kena bertindak!!!!! Tindakan yang positif. Nasihat, berdoa dan solat hajat..dan banyak lagi cara dan tindakan yang dapat diusahakan.
Yalah...berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Yang paling penting ibu rasa kita perlu muhassabah diri kita. Mana tahu apa yang berlaku itu cerminan kepada kesalahan dan kealpaan kita juga sebagai pasangannya . Jadi maksudnya, kita tak patut menyalahkan satu pihak sahaja.

Kita berkahwin kerana mahu bahagia di dunia. Kebahagiaan itu juga akan menjadi titian untuk kita memperoleh kebahagiaan di akhirat. Insyaallah... Itupun andai agama menjadi tunjang kehidupan berkeluarga kita.
Kita juga mahu keberkatan daripada Allah SWT dalam perkahwinan yang kita bina. Keberkatan itu kita kena dapatkan melalui usaha dalam amalan dan tindakan kita. Sekali lagi amalan dan tindakan itu mestilah bertunjangkan agama.

Terfikir pula ibu tentang jodoh permata hati.. Walaupun mahu menjadi ibu yang berfikiran terbuka dalam hal ini, tetapi ibu rasa penting juga peranan ibu dan ayah dalam merestui jodoh anak-anak. Anak-anak itu amanah. Sudah pasti kita mahukan anak-anak dan cucu-cucu kita  diberkati-Nya.
Andai dalam mencari jodoh ni harta dan kekayaan yang menjadi keutamaan, FAKIRlah yang akan kita dapat nanti. Luas maksud  pesanan yang dilontarkan oleh ustaz ni. Fikir-fikirkanlah wahai permata hati.

Satu perkara lagi ibu tertarik nak share di sini.  Ada pasangan yang dah berusia, contohnya warga emas bercerai dan alasan yang diberi takde jodoh atau jodoh dah tamat. Pada masa yang sama tidak pula berikhtiar untuk memanjangkan jodoh.
Macam mana tu??????

Monday, 8 October 2012

Kepercayaan

Entah kenapa pagi ini ibu rasa frust dan sedikit sedih. Seolah-olah sudah  hilang kepercayaan kepada banyak perkara. Tiba - tiba pagi Isnin ni mood jadi kurang selesa. Hujan lebat yang berterusan dari malam tadi hingga pagi ni mungkin juga mempengaruhi mood. Itulah warna-warna kehidupan. Apapun ibu tak mahu biarkan hari ni diwarnai dengan warna suram. Jom kita mulakan kehidupan hari ni dengan mengsyukuri nikmat umur yang diberikan kepada kita  pada pagi ni..

" Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kita setelah mematikan kita dan kepada-Nya kita  kembali "

Semoga sistem kepercayaan ibu  tidak akan berterusan goyah. Insyaallah.... Jom kita mulakan rutin kehidupan dengan doa dan harapan.......

"Dengan nama Allah , tiada sebarang mudarat dengan nama-Nya sesuatupun di langit dan di bumi. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Friday, 5 October 2012

Aktiviti orang bosan

Tiba-tiba teragak nak berpuisi waktu ni. Nak karang puisi tak berbakat.  Apa lagi jom kita jelajah alam maya ni. Inilah hasilnya... .....

The  Cake of Friendship
( Michelle Flore )

Preheat  the oven of love
With plenty of secrets and hugs

Mix in giggles and laughs
That make your sides split in half

Bake with the love and care
And all the things you both should share

Decorate with the frosting of trust
This is really a must

Enjoy the cake do not eat it fast
Just like your new friendship make it last.

♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥♡♥

Ini ada satu lagi poem. Terlalu teruja membaca sampai terlupa judulnya..

True friends are hard to find
But there you are you came into my life.
You came to me in a perfect time,
I m so happy you're a friend of mine.

We've been together for so long,
In a fantastic place where we belong.
We shared the mysteries of our life,
Laughter and tears are seen in our eyes.

You're with me and I' m with you,
You comfort me and I love you.
A part of me becomes part of you,
True friendship l've got in you.

Now it's time to say goodbye,
Tears of sadness keeps falling in my eyes.
So, please don't cry my darling friend,
Coz our friendship will never end.

Yes it's true we'll be apart,
Coz l'm here and you there.
With you my friend l want to tell
Whatever happens, we'll be friends forever !!!!!

   ♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥♥

Cantik jelita menawan........

Rambutnya ikal mayang. Pipinya bak pauh dilayang. Bibirnya bak delima merekah. Hidungnya mancung bak seludang. Itu gambaran yang selalu ibu temukan dalam novel-novel yang pernah ibu baca waktu remaja. Gambaran tentang kecantikan seorang gadis atau  wanita.

Bagi ibu kecantikan ni sesuatu yang abstrak. Pandangan seorang individu dengan individu yang lain tentang kecantikan berbeza.

Kenapa orang sibuk-sibuk nak jaga kecantikan ?  Orang tu termasuklah ibu..... Mungkin untuk kepuasan diri sendiri. Mungkin untuk membina keyakinan diri. Mungkin untuk orang yang dikasihi. Mungkin kerana tugas seseorang itu memerlukan dia sentiasa kelihatan cantik. Mungkin nak menunjuk-nunjuk...(Ya Allah....jauhkan aku daripada niat negatif ni) dan banyak lagi kemungkinan lain.

Bagi yang sudah dilahirkan cantik, bonus tu. Hanya perlu maintain aje. Bagi yang baru nak jadi cantik tiada istilah terlambat. Pelbagai cara tradisional dan moden ada. Yang penting ada fulus... Yang poketnya kempis bisa jugak dong jadi cantik..... Jenguk di dapur, ada banyak bahan yang dapat digunakan untuk jadi cantik. Hasilnya lambat sikitlah. Kena istiqomah jangan bosan.

Jom kita renung bersama cantik dari sudut pandangan Islam..

Firman Allah SWT dalam surah Al-Tin :
'Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya'

Islam memandang kecantikan dari dua unsur iaitu jasmani dan rohani. Sesungguhnya kecantikan sejati itu terletak  dalam hati yang bersih dan akhlak yang mulia.  ( mengingatkan diri sendiri juga !!! )
Apabila mengadap cermin, kita dianjurkan mengucapkan doa yang maksudnya, " Segala puji hanya bagi Allah. Ya Allah sepertimana engkau cantikkan wajahku, maka cantikkan juga akhlakku..."

Wah....Dah jauh malam ni!!! Tidur yang cukup juga merupakan elemen penting dalam menjaga kecantikan. Tak gitu ???? Sebelum ibu berundur, ibu tinggalkan permata hati dengan kata-kata berikut,

♥ Matlamat tidak boleh menghalalkan cara
♥ Pastikan kita dalam frekuensi mencari redha Allah ( sekadar memetik kata-kata Dr Muhaya )
Renung-renungkanlah........
Selamat malam permata hati..

Tuesday, 2 October 2012

My childhood

Ibu merupakan anak ke tiga dalam keluarga. Masa ibu dilahirkan, abah bertugas sebagai seorang tentera. Ketika ibu dilahirkan abah bertugas di luar kawasan. Kerana terlalu teruja untuk melihat bayi comel ni, abah telah absent dari tugasnya. Apa lagi..... abah dikenakan tindakan tatatertib. Tidur di dalam cell!!!! Mengikut cerita arwah mak, ibu ni suka menangis tanpa sebab. Tiap kali arwah mak nak ke bilik air, ibu mesti dibawa. Ibu akan dimasukkan ke dalam baldi. Berdirilah ibu di situ memerhatikan arwah mak membasuh pakaian. Sikap ibu yang kuat menangis ni juga hampir-hampir menyebabkan ibu 'dihayun' di pantai Lido di Johor Bahru. Nasib baik abah ibu acah aje kalau tidak........

Masa kecil ibu dimanja dan disayangi arwah dan abah. Mana tidaknya ? Minum susu yang mahal. Mahal sampai abah terpaksa jual dapur minyak tanah arwah mak yang cap Butterfly (masa tu dapur brand ni glamor dan mahal ) hanya untuk membeli susu ibu. Yang ini memang terkesan di hati ibu sehingga saat ini. Nak menitis air mata ni..... Kesemua sembilan orang adik-beradik ibu ada ceritera masing-masing . Ibu suka mengimbau kembali kisah silam kerana banyak ikhtibar yang diperoleh. Tiada apa yang hendak dimalukan. Malah personaliti ibu banyak dipengaruhi oleh pengalaman ibu sewaktu kecil. Biarlah permata hati yang membaca titipan ibu ni membuat rumusan sendiri mengikut perspektif masing-masing.

Belajar di sekolah aliran Inggeris banyak cabarannya pada masa itu. Cabaran hebat sudah pasti feesnya. Berbeza dengan sekolah aliran melayu. Bahan bacaan tiada masalah. Di perpustakaan sekolah dan perpustakaan awam banyak pilihan buku-buku. Sedikit sebanyak aliran ini mempengaruhi pergaulan dan pemikiran ibu. Ibu berhubung dan bergaul dengan pelbagai bangsa khususnya kaum Cina dan kaum India.Sehingga kini ibu mampu tolerate dengan  mereka. Malah jiran ibu beragama Hindu. Alhamdulillah anak-anak ibu juga tiada masalah . Mereka lebih telus.

Membesar di kalangan adik-beradik lelaki yang ramai, sangat mengujakan.... Bayangkan ibu ada seorang abang dan lima orang adik lelaki. Kitalah kena pastikan mereka dah buat homework, kasut sekolah dah berkapur dan uniform sekolah dah bergosok. Yang paling kecoh ketika makan time.. Yang seronoknya, lazat atau tidak makanan jatuh perkara kedua tetapi yang penting kuantitinya. Ibu jadi quarter master. Kena pastikan ration makanan mencukupi sehingga  dinner time. Ibu mempunyai dua orang adik perempuan. Kami share banyak perkara bersama. Mereka assistants ibu yang cekap. Hujung minggu kami,merupakan sesi mendobi. Ampaian dipenuhi uniform sekolah dan bedsheets berwarna putih.( maklumlah anak tentera dan tinggal di kuarters tentera) Sebelum pagi Isnin semua dah dibereskan.

Walau sesibuk manapun, ibu dan dua orang adik ibu sempat lagi 'merambu'. Namapun kanak-kanak...... Kami bertiga aje yang tahu apa yang kami selalu buat masa tu.... Tak tahulah samada adik-adik ibu ingat lagi atau tidak. Seingat ibu, cuma ibu seorang yang takut panjat pokok. Mereka berdua expertlah.

Kini kesemua adik-beradik ibu sudah berkeluarga. Kami jarang bertemu khususnya adik-adik lelaki. Hanya bonding antara kami yang menjadi pengikat kasih kami walaupun kami jarang bertemu. Ingatan ibu terhadap mereka cukup kuat. Naluri seorang wanita !!!! Mungkin merekapun macam tu juga tetapi ego seorang lelaki............