Hari ini ibu memenuhi temu janji di Klinik Nur Sejahtera. Ibu senang sekali dengan perkhidmatan yang disediakan di klinik ini. Semua pegawai perubatan yang bertugas merupakan wanita. Sesuailah dengan kehendak agama. Sikap mereka yang peramah dan senang didekati menyebabkan ibu sangat selesa. Klinik Nur Sejahtera di bawah kelolaan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara. Kos rawatan yang dikenakan sangat berpatutan. Selain menjalani saringan pap smear, ibu juga berkesempatan menjalani ujian darah,glukos dan kolestrol dan akan menyusul saringan mamogram pada tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak klinik. Alhamdulilah dengan izin Allah ibu masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat kesihatan yang baik. Mudah-mudahan peluang yang Allah kurniakan ini akan ibu gunakan sebaik mungkin.
Teringat pula ibu kepada puteri-puteri ibu yang dikasihi. Sudahkah mereka lakukan seperti apa yang telah ibu lakukan? Yang telah berumah tangga khususnya. Ibu telah membuat research untuk mereka.
Ujian saringan pap smear amat penting bagi kaum wanita kerana ujian tersebut dapat membantu mengesan barah pangkal rahim di peringkat awal supaya rawatan yang berkesan dapat diberikan dengan segera. Oleh itu, ibu berpendapat amat penting golongan wanita menjalani pemeriksaan pap smear secara berkala kerana barah pangkal rahim merupakan penyakit barah kedua tertinggi kejadiannya di kalangan golongan wanita selepas barah payu dara. Ujian pap smear dilakukan bertujuan untuk mengesan perubahan sel yang tidak normal pada bahagian pangkal rahim. Mungkin ada rasa kurang selesa ketika ujian ini dilakukan tetapi tidak menyakitkan dan hanya beberapa minit sahaja ujian pap smear siap dijalankan. Pemeriksaan saringan pap smear secara berkala perlu dilakukan mengikut nasihat pakar perubatan. Kepada puteri-puteri ibu yang telah berumah tangga jangan lupa untuk menjalani saringan pap smear. Ibu tahu ada yang takut untuk menjalani ujian tersebut. Jangan kita lupa kepada pepatah Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat. Menjaga kesihatan merupakan satu aspek yang penting yang perlu dipelihara sebagai Muslim yang mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup. Tanpa kesihatan yang baik, bagaimana kita boleh tampil ke hadapan sebagai pemimpin dan pejuang yang kuat dalam usaha menegakkan kalimah Allah?

terjumpa info ni, pasal ujian pap smear… sharing is caring :) - Ujian Pap Smear Elak Kanser Serviks
ReplyDelete