Sunday, 20 May 2012



Hai sayang.... Itulah tagline Haziq apabila bangun tidur. Senyumannya manis menampakkan barisan gigi susunya. Jarang ada anak kecil yang bangun pagi dengan senyuman menandakan cukup tidurnya. Hanya kepada ibu dan mak saudaranya sahaja,sapaan 'hai sayang' itu diberikan.

Cair hati ibu setiap kali ayat itu ibu dengar. Hilang lelah. Dia akan minta didakap. Pipi ibu bertubi-tubi diciumnya. Setiap hari itulah rutinnya. Mana mungkin perpisahan terjadi jika begitu akrabnya kami. Itu kata hati kecil ibu. Sampai masa dan ketikanya, Haziq wajar belajar untuk hidup bersama ayah dan ibunya. Memandangkan mereka berdua terikat dengan komitmen tugas,maka Haziq perlu berpisah seketika dengan mereka.

Kasih ayah sepanjang hayat dan kasih ibu membawa ke syurga. Itu pasti. Ibu Haziq sedang meninjau-ninjau taska yang sesuai untuknya. Memandangkan Haziq masih berdiapers lagi, tiada taska yang dapat menerimanya. Ibu akur. Andai sampai waktunya, perpisahan pasti terjadi. Haziq perlu belajar untuk bergaul dengan rakan sebayanya. 

Ibu dan ayah Haziq akan rugi andai tidak dapat mengalami momen-momen indah melihat anak kesayangan membesar. Setiap hari ada sahaja 'kemahiran' baru yang diperolehnya. Ibulah yang menjadi pelapor setia kepada ibu Haziq tentang keleteh anaknya itu. Walaupun perbualan melalui telefon sahaja tetapi ibu dapat menyelami hati Aan, ibu Haziq. Riang tawanya, mendengar keleteh anaknya.
Semasa berusia setahun, Haziq ada simptom Autisma. Tidak ada fokus dan tiada perkataan yang keluar daripada mulutnya. Senyap aje. Cakaplah apapun, tiada tindak balas daripadanya. Tak terkira risaunya kami sekeluarga. Pelbagai usaha kami buat. Berjumpa doktor pakar kanak-kanak dan pakar telinga. Mematuhi saranan doktor agar dia mengikuti latihan kerja di bawah kelolaan pakar pulih di hospital besar.
Selaku insan yang akur dengan kuasa Ilahi, kami sentiasa memohon 
hidayah daripada Allah. Ibu sentiasa memberi kata perangsang kepada ibu dan ayah Haziq supaya tidak berputus asa.

 Alhamdulillah. Berkat doa dan izin-Nya jua, Haziq sudah bijak mengekspresi kehendaknya. Celotehnya bagai bertih goreng. Tidak mampu kami tahan. Adakalanya kami tidak faham apa mahunya. Nasib baik ada Mak Su yang cekap memahami bahasa kanak-kanak. Dialah yang selalu menyelesaikan masalah ibu.

Ibu gembira dan bahagia menguruskan cucu-cucu ibu. Memandangkan ibu juga pernah bekerja dan tahu masalah ibu-ibu yang bekerja ini, maka ibu hulurkan tangan untuk membantu anak-anak ibu yang menghadapi masalah yang sama. Ibu buat dengan penuh redha agar anak-anak tidak rasa berdosa membebankan orang tuanya. Apabila mereka sudah bersedia, ambil dan didiklah Haziq agar dia mendapat sepenuh kasih sayang dan asuhan daripada air tangan ibu dan ayah

Ibu sentiasa berdoa agar diberikan kesihatan yang baik untuk mendidik cucu-cucu ibu agar menjadi insan yang soleh dan solehah. Insyaallah.



Saturday, 5 May 2012

5 MEI 1987 tarikh lahir anak ke lima ibu. Suraya nama diberi merupakan adik kesayangan kak long, abang ngah, ancik dan aan. Dia merupakan 'breech baby'. Ketika dilahirkan, kakinya yang keluar dulu. Bukan kelahiran normal. Apa hikmahnya ? Ibu yakin dengan rahsia Maha Pencipta. 
  Setiap kelahiran yang ibu lalui pasti ada momen indah yang berlaku. Ketika ibu hamilkan Suraya,ibu kerap didatangi jururawat dari klinik berdekatan. Suatu pagi seperti biasa ibu dilawati seorang jururawat. Beliau mendapati kandungan ibu
tidak dapat dikesan degupan jantungnya.
Apa lagi, jururawat yang sudah hampir pencen itu panik lalu segera menelefon ambulan. Ketika itu ibu biasa-biasa sahaja. Agak keberatan untuk pergi kerana suami ibu sedang bertugas dan 2 orang anak ibu masih kecil. Tiada siapa yang dapat diharap untuk menguruskan mereka sementara abang dan kakaknya masih di sekolah ketika itu. Desakan jururawat tidak mampu ibu tolak. Nasib ibu baik kerana anak jiran ibu ada di rumah ketika itu.

Walaupun ibu tidak yakin dengan kemampuannya memandangkan dia lelaki tetapi ibu tawakal sahaja. Setelah meninggalkan pesanan, ibu menaiki ambulan untuk ke Hospital Melaka. Peristiwa yang paling terkesan di hati ibu sehingga kini adalah ketika melihat 2 orang anak kecil ibu berlari-lari mengejar ambulan yang ibu naiki.Aduh.....macam cerita dalam filem pula. Mereka pasti tidak ingat peristiwa itu sebab ibu tidak pernah bercerita hal tersebut.

Tadi ibu ceritakan kepada Suraya. Dia ketawa. Ibu senyum sahaja kerana sebenarnya ibu sedih kalau teringatkan peristiwa itu.

 Hari ini ibu tidak mahu menulis panjang lebar tentang anak ibu yang bongsu ni. Hari ini ialah hari lahirnya yang ke 25 tahun. Sudah dewasa puteri ibu ini. Ketika bekerja sangat serious tetapi apabila berada di rumah hmm....... tidak ubah seperti anak manja yang mahu diberi perhatian. Seorang mak saudara yang penyayang tetapi tegas.
 
Suraya merupakan idola Haziq, cucu nenek yang tinggal bersama kami. Apa sahaja yang diajar oleh Mak Su, Haziq cepat dapat.


Ibu doakan semoga Suraya  sentiasa mendapat rahmat dan hidayah daripada-Nya .
Pasal jodoh......... sensitif !!!!!!!!!!!!!    Biar masa yang menentukan. Tetapi ustaz beritahu jodoh  dan ajal untuk setiap insan itu sudah ditentukan oleh Allah.