Ketika kecil kuat menangis. Dilahirkan pada subuh 6 Julai di rumah ibu. Mulai saat pertama melihat dunia,Ariff menangis tanpa henti sehingga beberapa jam. Tidak dapat hendak digambarkan panik kami sekeluarga. Pada awal usianya, Ariff memang kerap menangis.Sehingga usianya menjangkau dua tahun barulah dia kembali normal seperti anak-anak lain. Ketika itu suaranya sudah menjadi parau sedikit.Mengikut kata doktor, itu kesan daripada kerap sangat menangis. 
Ibu yang ketika itu bertugas sebagai pendididk tidak menang tangan menguruskannya. Ketika ibu baru sahaja hendak melelapkan mata, Ariff pula sibuk hendak bermain. Waktu tidur sering terganggu. Sesungguhnya kasih ibu tiada batasan. Alhamdulillah semua masalah pasti ada penyelesaiannya. Dengan izin Allah kami dapat membesarkan Ariff seperti anak-anak lain.
Zaman persekolahannya menyeronokkan. Ibu sentiasa ambil tahu apa yang anak-anak buat. Jadi ibu tahu siapa anak ibu yang aktif sukan, badan beruniform ataupun kaki bangku. Semua ada dalam kocek ibu. Ariff aktif dalam pergerakan pengakap. Dia selalu menyertai perkhemahan pengakap. Ketika di sekolah rendah dan menengah dia merupakan pengawas sekolah. Ketika di sekolah menengah, Ariff bersekolah di tempat ibu mengajar. Ada hari-hari tertentu dia akan ditugaskan untuk melafazkan Rukun Negara atau membaca doa di hadapan perhimpunan. Ketika itu ibu selalu kecut perut. Takut kalau-kalau dia membuat kesilapan. Pernah berlaku dalam perhimpunan mingguan kawannya terbaca doa makan. Pencapaian akademik Ariff tidak mengecewakan ibu. Ibu tahu dia rajin berusaha untuk mencapai apa yang dia hasratkan. Ibu cuma perlu bantu di mana perlu. Pernah ketika Ariff sedang mengulangkaji untuk peperiksaannya, kami bekerjasama menyediakan nota-nota penting. Ariff punya cara tersendiri untuk belajar. Ibu cuma memantau dari jauh sahaja dan membantu jika diperlukan.
Setelah tamat alam persekolahan,Ariff menerima banyak tawaran belajar tetapi tawaran dari ALAM telah menarik minatnya. Dia mahu menjadi seorang pelaut. Ibu mengiyakan sahaja hasratnya walaupun dalam hati meronta-ronta mahu sahaja ibu katakan jangan. Alhamdulillah pengalaman telah mematangkan Ariff. Benarlah kata bijak pandai, pengalaman adalah sekolah terbaik untuk kita. Kini ibu lihat Ariff lebih cekal menguruskan kehidupannya secekal Seri Balqis membelah lautan luas.
Nur Eliana, suri di hati Ariff. Mereka mendirikan rumah tangga beberapa tahun yang lalu. Anak kelahiran Port Dickson itu merupakan wanita yang berbudi luhur. Tutur bicaranya yang sentiasa berhemah sangat ibu senangi. Yana tabah menjalani kehidupan harian ketika Ariff belayar selama beberapa bulan.Mereka merupakan mummy dan daddy kepada puteri comel,Alisha Balqis yang bakal berusia dua tahun tidak lama lagi. Doa ibu sentiasa mengiringi mereka walau di mana mereka berada.
Kepada Ariff dan Yana, ibu titipkan Wasiat Luqman a.s. kepada anaknya sebagai panduan.
- Anakku, suruhlah orang melakukan kebaikan,tegahlah kemungkaran dan sabarlah kamu atas segala yang menimpa.
- Wahai anakku, ingatlah Allah banyak-banyak sesungguhnya Allah mengingati orang-orang yang mengingati-Nya
- Anakku, tidak ada yang lebih bernilai di sisi Allah, lebih daripada akal.
- Engkau hendaklah tawadhuk ( merendah diri ).
- Anakku, sepandai-pandai manusia adalah yang paling takut kepada Allah.



No comments:
Post a Comment