Monday, 27 August 2012

Mendung Si Mega Mendung

                          Hari ni Isnin 27 Ogos 2012. Hari pertama kebanyakan orang memulakan tugas selepas bercuti panjang sempena Hari Raya. Selalu orang kaitkan atitude mereka dengan Monday blues. Wujudke istilah tu? Sebenarnya tiada. Yang bermasalah ialah kita ni.
                            Hari ini cuaca agak suram. Sejak dari pagi tadi. Sang matahari bagai malu-malu untuk memancarkan sinar. Ibu baru sahaja mula berpuasa sunat. Turut terganggu juga dengan atmosphere ni. Entah berapa kali lena dan bangun...... Banyak juga tugas yang terbengkalai. Menjelang petang baru ada mood. Apa lagi kelam-kabutlah menyiapkan kerja.
                             Nasib baik melibatkan atitude sahaja. Kalau jiwa turut  kacau? Aduh...lagi parah. Dalam mengharungi kehidupan ini memang banyak pancaroba. Hanya ketabahan dan keimanan sahaja yang mampu membantu kita dalam menanganinya. Jika tidak, jiwa akan terus kacau..
                            Cabaran dalam kehidupan biasalah...  Tiada cabaran tiada thrill...  Sebenarnya apa sahaja yang berlaku adalah hikmahnya. Allah Maha Mengetahui. Andai kita semua dapat menerima hakikat ini, tidaklah kedengaran keluh-kesah. Tetapi kita perlu ingat, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
         

Friday, 24 August 2012

Sayonara

Hari ini 24 Ogos , kak long dan anak-anaknya berangkat pulang ke Gerik. Mereka telah berada di sini selama lapan hari. Alhamdulillah. Gembira ibu walaupun letih melayan kerenah cucu-cucu.
Kak long , umi yang energetik. Tidak pernah duduk diam. Ada sahaja tempat yang hendak 'diterokai'. Asal sahaja ada penemannya, memandulah dia ke situ. Kata umi, dia bosan  kalau seharian di rumah tanpa aktiviti. Ibu pula yang berasa lelah melihat kak long yang sentiasa sahaja merancang aktivitinya. Cucu-cucu ibu, Kak Eca dan Adik Aisya sangat rapat dengan pengasuh mereka yang dipanggil Kak Yani.
Kak Eca  suka kepada aktiviti kraf tangan. Mungkin mewarisi minat umi. Entah berapa kali dia berkunjung ke kedai DIY di PD semata-semata untuk mendapatkan bahan bagi memenuhi minatnya.
Adik Aisya, si comel yang manja ni agak sensitif. Jika umi atau Kak Yani hilang sebentar daripada pandangannya, satu rumahlah suara esak tangisnya akan kedengaran. Ibu ucapkan terima kasih kepada permata hati kerana telah 'menghidupkan' suasana di rumah kami. Doa ibu agar kita dapat bertemu kembali pada cuti sekolah akan datang.
Kepada Kak Eca, nenek A ucapkan selamat belajar dan buat persediaan awal untuk peperiksaan akhir tahun ( umi, tolong sampaikan kepada Kak Eca ). Jangan lupa pesanan nenek A ketika kita berbual-bual tempoh hari. Apa pesan nenek A kepada Kak Eca ?

Thursday, 23 August 2012

Hari ni ibu masih berada di rumah Aan. Semalam ibu dan kak long ke rumah Aan. Petangnya Suraya yang sudah bertugas selepas cuti raya datang juga. Mungkin sekejap lagi kami pulang ke Port Dickson. Entah apalah suami ibu buat di rumah.....

Tuesday, 21 August 2012

Hello Mr Sailor

Anak ibu, Ariff telah bertugas semula selepas 3 bulan bercuti di darat. Kini sedang bertugas di atas kapal dan berada di perairan berhampiran. Pada malam raya Ariff call tapi ibu tak dengar kerana sibuk di dapur. Esokknya dia call lagi. Ibu tak jawab juga. Kali ini ibu sibuk melayan tetamu pula. Alahai....kesiannya....  Akhirnya petang tadi ibu dapat menjawab panggilan Ariff. Ketika itu dia berada di perairan Sabah. Ibu dapat rasakan kegembiraan yang hadir ketika itu. Ariff sudah dua hari menjalani ibadah puasa sunat. Menurutnya teman-teman banyak yang sudah mula berpuasa sunat dan momentum itu masih ada. Jadi diteruskannya. Wah!!! Rasa tercabar ibu. Tetapi, jauh di sudut hati ibu bersyukur kerana Ramadhan yang baru berlalu telah membuka lembaran baru dalam kehidupan Ariff. Teruskan amalan murni itu Mr Sailor.

Monday, 13 August 2012

Mencari keredhaanMu

"HambaMu datang menyahut panggilanMu, 
Ya Allah hambaMu datang menyahut panggilanMu.
Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan
adalah kepunyaanMu yang tiada sekutu bagiMu."
 


Tidak pernah terlintas dalam hati untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dalam waktu terdekat. Namun seperti insan lain, ibu sentiasa berdoa agar diberi peluang untuk ke sana sebelum menutupkan mata ini. Alhamdulillah Allah Maha Pengasih dan Maha Mendengar. Tarikh 11 JULAI 2012 tarikh keramat.

 Ibu dan suami ditemani anak-anak berada awal di lapangan terbang. Semua anak ibu ada melainkan kak long dan familinya. Mereka menetap di utara jadi tidak dapat bersama kami. Walau bagaimanapun mereka telah pulang beberapa minggu terdahulu untuk bertemu kami.

 Itulah amalan kami sekeluarga sejak dahulu. Sentiasa bersama jika ada peluang dan ruang. Itu yang membuatkan ibu sentiasa bersyukur kerana diberi peluang olehNya untuk menjadi suri dalam keluarga ini. Ibu sentiasa merindui saat-saat bersama mereka.
Anehnya, apabila berada di Tanah Suci yang jauhnya lebih kurang 6 hingga 7 ribu km perasaan itu tidak langsung mengganggu ibu.




Sepanjang 12 hari di sana ibu dan suami menginap di bilik yang agak kondusif. Kami menjadi teman yang akrab. Ke mana sahaja, kami tetap bersama. Terasa jalinan kasih sayang kurniaan Illahi. Inilah hikmah dan barakah berada di Tanah Suci. Maklumlah sejak berstatus atuk dan nenek kami mempunyai kesibukan sendiri dan kadang-kadang alpa terhadap komitmen terhadap pasangan. Alhamdulillah. Di sini ibu berpeluang melunaskan komitmen ibu terhadap pasangan ibu.Doa ibu, mudah-mudahan ibu akan terus berbakti kepada lelaki ini yang bergelar suami.

 Ketika berada di Makkah, suami ibu sering sakit-sakit. Tidak dapat diungkapkan betapa risaunya ibu. Kami tiada siapa-siapa di sini. Ibu anggap ini sebagai dugaan yang diberiNya. Ibu percaya dan yakin Allah tahu apa yang mampu ibu tanggung. Ibu berasa sangat bertuah kerana ada teman dan anak-anak yang sentiasa memantau keadaan kami . Walaupun jauh beribu kilometer namun kecanggihan teknologi banyak membantu. 


 Kepada teman,adik-adik dan anak-anak yang tidak putus-putus memberikan semangat dan doa, sekalung budi ibu hulurkan.Mudah-mudahan amal murni anda dibalas Allah.


Ada waktu-waktu apabila suami ibu kurang sihat dan tidak berupaya untuk berjalan ke Masjidil Haram maka ibu akan ke sana sendirian. Teringat ibu kepada sms kak long. " Ma.. hati-hati apabila sendirian ke masjid. Kat sana tak ada orang jahatkan ?"  Itulah mungkin gambarannya tentang Tanah Suci. Persepsi insan yang belum pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci.


Wahai permata hati, ibu berdoa agar anak-anak diberi rezeki supaya segera menjadi tetamuNya. Semogl dapat menghayati dan menikmati keindahan dan kesyahduan berada di tempat-tempat suci seperti Baitullah dan Raudhah. Menikmati laungan azan yang datang dari Masjidil Haram dan bacaan imam ketika solat benar-benar buat jiwa kita terusik.




Tiap kali lepas solat di Masjidil Haram, ibu tidak pernah melepaskan peluang untuk berada di anjung paras dua masjid. Melihat lautan manusia sedang mengerjakan tawaf mengelilingi Baitullah. Tidak dapat hendak ibu titipkan di sini perasaan setiap kali melihat rumah Allah ini. Baitullah yang menjadi kiblat kepada umat Islam di seluruh pelosok alam. Rasa hiba, sayu dan terasa sungguh kerdilnya diri ini.



 
"Ya Allah, aku terasa malu untuk mengadapMu.. SudikahKau menerima aku sebagai tetamuMu Ya Allah.. Sudikah kau mengampunkan dosa yang kugalas ini.. Ya Allah ampunkanlah dosaku, biarlah ianya sebesar zahrah.. sekalipun. .kerana hanya Engkau yang maha pemurah lagi maha pengampun... "
Air mata ini tertumpah lagi.. entah bila  akan kering mengalir..
Ketika bait-bait ayat ini ditulis hati masih meruntun merindui Baitullah. Perasaan membuak-buak untuk menatapnya lagi.


Momen-momen indah ketika berada di Madinah dan Makkah tidak mudah luput daripada ingatan ibu. Hanya insan yang berpeluang ke sana akan dapat merasakan  betapa nikmat menjadi tetamuNya.



Keindahan Baitullah dan Masjidil haram tidak dapat ibu gambarkan dengan kata-kata. Cahaya yang meneranginya seakan kita tidak sedar akan siang dan malam. Masjidil haram seakan satu pesta meraikan tetamu Allah. Baitullah tidak pernah sunyi dari kunjungan hamba Allah yang bertawaf mengelilinginya.




Ibu titipkan sebahagian daripada doa selepas solat sunat Tawaf Wida.' .
Kesedihan yang tidak terungkap tika saat-saat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Baitullah memang meruntun setiap jiwa insan yang menjadi tetamuNya

 "Ya Allah, bekalilah aku ini dengan afiat pada tubuhku,tetap menjaga agamaku, baikkanlah kepulanganku    dan berilah aku taat setia padaMu selama-lamanya, selagi Engkau membiarkan aku hidup dan kumpulkanlah bagiku kebaikan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Ya Allah,janganlah jadikan masaku ini masa terakhir bagiku dengan rumahMu."