Kak long melangsungkan perkahwinannya pada 5 Disember. Setiap tahun kami menyambut ulangtahun perkahwinan pada tarikh yang sama. Ibu juga berkahwin pada tarikh yang sama tiga puluh empat tahun lalu.
Suaminya,Azhar berasal dari Perak. Seorang suami dan abah yang sangat istimewa pada pandangan ibu. Di sebalik keluhuran dan sikap merendah dirinya,terungkap cita-cita tinggi melangit. Ibu suka akan sikapnya yang berwawasan. Tidak pernah duduk diam,ada sahaja yang hendak dilakukan.Yang pasti apa yang dilakukan memberi pulangan yang lumayan. Iza, panggilan manja suami untuk kak long. Mereka berdua bertugas di salah sebuah Kolej Komuniti di Perak.
Kak long melalui zaman kanak-kanak sama seperti anak-anak lain. Tetapi, ibu bertanggapan dia cepat matang berbanding usianya. Sesuailah dengan panggilan kak long kepada empat orang adik-adik yang lain. Dia pengganti ibu ketika ketiadaan ibu di rumah. Alhamdulillah, kak long juga cemerlang dalam akademiknya. Graduan jurusan fesyen ini, minat dengan kerja-kerja seni khususnya seni kraf. kak long mempunyai minat yang sama seperti ibu. Kak long dan suami mempunyai kepakaran dalam bidang masakan. Rajin melayan kerenah adik-adik ketika pulang bercuti ke rumah ibu.
Mereka dikurniakan dua orang puteri cilik yang menjadi dambaan setiap pasangan yang berkahwin. Nurliana Batrisya dan Aisya Qistina nama diberi. Keletah mereka menjadi penyejuk hati umi dan abah. Setiap hari pulang sahaja dari kerja, kedua-dua nona manis ini sudah siap untuk dibawa bersiar-siar di sekitar bandar oleh umi atau abah.Kepada umi dan abah, ibu berpesan agar tidak lupa memberi pendidikan iman kerana kanak-kanak pada usia Batrisya banyak bertanya tentang cara kewujudannya,dan gambaran tentang Tuhannya. Selain itu jangan lupa mengasuh mereka mencintai al-Quran dan mencintai keluarga Nabi dan para sahabat. Ibu mendoakan kesejahteraan keluarga kak long.
Untuk renungan kak long dan suami
Ibn Khaldun berkata:
"Anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih daripada yang diambil dengan cara nasihat dan tunjuk ajar."
( Al-Muqaddimah )
No comments:
Post a Comment