Semalam anak ibu Ariff, yang bertugas hampir lima bulan di perantauan pulang. Dahulu sebelum dia berumahtangga, kepulangannya kami sambut di KLIA.Kini setelah berumahtangga tugas itu diambil alih oleh isteri tercinta. Tiada menjadi masalah kepada ibu kerana keutamaan ibu adalah kebahagiaan mereka.Awal pagi tadi Ariff beserta isteri dan anak mereka sudah terpancul di hadapan rumah. Alhamdulillah.....dipanjangkan usia ibu untuk bertemu kembali dengannya. Kami bersalaman dan ciuman tanda kasih ibu hinggap di pipi.Ole-ole dari perantauan tidak pernah Ariff lupakan. Paling tidak sebotol parfum dan coklat kegemaran keluarga. Sepanjang perbualan,ibu curi-curi melihat raut wajah anak ibu ini..Nampak berisi,cerah kulitnya. mungkin cuaca di tempat bertugas serasi dengannya. Dia nampak lebih matang sesuai dengan usianya yang menjangkau awal tiga puluhan. Sesuailah dengan peranannya sebagai suami dan daddy kepada Alisha Balqis.Ariff seronok menceritakan pengalamannya di Dubai.Ibu cuba meraikannya dengan memberi banyak ruang untuk dia terus bercerita.Pagi-pagi begini ibu selalunya sibuk menyudahkan rutin rumahtangga yang memang sudah menjadi core business semenjak bersara. Sekali-sekala apa salahnya ibu mengalah. Yang penting kami gembira ketika itu.
Ibu lihat Alisha Balqis sentiasa berada atas pangkuan daddy.Sesaatpun dia tidak berganjak. Betapa rindunya dia akan daddy. Terbayang di kotak minda ibu ketika mula-mula Ariff mendaftar di ALAM dahulu iaitu kira-kira sembilan tahun lalu.Beberapa malam ibu tidak lena tidur teringatkan dia.kami tidak pernah berpisah.Ketika itu timbul rasa menyesal mengizinkan dia belajar di sana sebab ibu tahu akhirnya nanti dia akan bertugas jauh di lautan luas, jauh daripada kami.Namun begitu,kehendaknya tidak mampu ibu tolak kerana ibu percaya kepada ketentuan-Nya. Alhamdulillah....nampaknya jauh perjalanan,luas pengalaman Ariff.
No comments:
Post a Comment