Menaiki train untuk ke Johor Bahru? Sesuatu yang tentu menyeronokkan. Idea yang datang daripada Aan telah menyelesaikan masalah yang menghambat fikiran ibu sejak beberapa hari yang lalu. Apabila Suraya mendapat surat untuk ujian bertulis yang akan diadakan di Merlin Tower, Johor Bahru, perkara pertama yang ibu fikirkan ialah bagaimana dia hendak ke sana. Pelbagai kaedah yang kami cadangkan tetapi semua ditolaknya dengan pelbagai alasan. Ibu tahu, dia mahu ibu bersama-samanya ke sana.Aan dan Suraya leka berbual sahaja. Sekali-sekala ibu dengar mereka ketawa. Entah apalah agaknya yang mengelikan hati mereka. Seronok ibu memerhatikan gelagat mereka. Ibu gembira dengan teamwork mereka. Memandangkan kakak dan abang mempunyai komitmen lain, Aan dan suaminya mengambil tanggungjawab untuk menguruskan misi kami ini. Mereka tidak pernah berkira sangat.
Inilah yang ibu harapkan dan berdoa semoga anak-anak akan sentiasa bermuafakat dan berkasih sayang walaupun ibu tiada lagi di sisi mereka.
Sebenarnya train dan jiwa ibu ada nostalgia tersendiri. Ketika ibu mengikuti kursus perguruan di MPTI ,train merupakan pengangkutan utama ibu setiap kali pulang ke kampung. Labis merupakan daerah pertama ibu dihantar bertugas selepas menamatkan kursus. Ketika di situ train juga menjadi pilihan ibu. Kenangan yang tidak dapat ibu lupakan ketika terpaksa berdiri sepanjang perjalanan pulang ke Seremban dalam keadaan sarat hamil anak pertama ibu. Esoknya terus ke hospital untuk melahirkan kak long. Ketika itu kualiti perkhidmatan train agak menyedihkan. Begitu juga kesedaran sivik masyarakat ketika itu.
Kini perkhidmatan KTM sudah ada peningkatan. Cuma ibu hairan mengapa stesen-stesen kecil langsung tidak ada pembaharuan. Tiada tarikan di situ. Suram sahaja.
Seronok dapat menghabiskan masa berkualiti bersama permata hati. Pada pandangan ibu,bagi mereka yang sentiasa memburu waktu train bukan pengangkutan yang sesuai.
No comments:
Post a Comment