Semalam 24 Februari 2013 merupakan hari bahagia buat anak saudara ibu. Seronok berkumpul bersama adik-adik ibu dan anak-anak saudara serta rakan taulan. Saat yang jarang-jarang diperolehi.
Majlis di pihak pengantin perempuan berlangsung dengan meriah. Yang ibu kagum ialah majlis diadakan begitu teratur. Kami rasa cukup selesa walaupun terpaksa menghabiskan hampir seharian di situ. Ditambah dengan cuaca yang sangat panas. Keramahan tuan rumah beserta penduduk di situ membuatkan hati ibu tersentuh.
Majlis akad nikah merupakan kemuncak sesuatu majlis perkahwinan. Nak tengok betapa panik pengantin lelaki menanti untuk akad nikah. Aizat,anak saudara ibu ni memang terkenal dengan paniknya di kalangan kami. Peluh sentiasa membasahi dahi dan hidung. Kami asyik memerhatikannya dari jauh. Sesekali nampak dia mengelap peluhnya. Bukan dengan tisu atau sapu tangan tapi dengan tuala. Tok imam yang segak berbaju melayu coklat cukup bijak mententeramkan keadaan. Dengan suaranya yang lembut bagai seorang ayah yang sedang memberi nasihat terkesan di hati sesiapa yang mendengar. Keadaan menjadi sunyi sepi. Semua yang hadir senyap menghayati nasihat beliau yang berupa khutbah nikah. 'Pengantin yang sudah veteran' termenung jauh mungkin sedang membandingkan perjalanan rumahtangga mereka dengan apa yang disampaikan oleh tok imam.
Mungkin ada yang hairan dengan tindakan ibu yang all out memberi kerjasama dalam persiapan kenduri anak saudara ibu ini. Ibu tahu permata hati ibu juga kurang selesa dengan tindakan ibu ini. Malah anak2 saudara ibu turut hairan dan rasa bersalah. Tapi ibu percaya dan yakin dengan taufik dan hidayah dari-Nya. Kalau kita sentiasa berdoa untuk mendapat petunjuk serta bantuan-Nya dalam mengendalikan hati kita, insyaallah Allah tak pernah mengecewakan. Benarlah nasihat ustazah Hafizah, kita uruskan kehidupan kita untuk bekalan mati kita.
Kita tidak boleh berbangga dengan apa sahaja kebaikan yang telah kita lakukan kerana tanpa redha-Nya tak jadi semua itu. Sebab itu Rasullullah berpesan kepada Mua'az r.a. ;
"Wahai Mua'az, demi Allah bahawa saya kasihkan engkau. Saya berpesan kepadamu jangan kamu tinggalkan membaca doa ini setiap kali selepas solat."
Doanya bermaksud : Ya Allah,bantulah aku dalam mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu serta melakukan ibadat yang terbaik kerana-Mu.
Doa ini juga yang dianjurkan kepada kita untuk dibaca selepas solat.
Kepada anak saudara ibu yang telahpun bergelar suami serta pasanganya Raihanna, ibu harap akan melayari bahtera kehidupan dengan mentaati perintah-Nya dan mengikut sunnah2 junjungan yang kita kasihi.
Selamat pengantin baru.........

No comments:
Post a Comment