Sunday, 29 April 2012

Menaiki train untuk ke Johor Bahru? Sesuatu yang tentu menyeronokkan. Idea yang datang daripada Aan telah menyelesaikan masalah yang menghambat fikiran ibu sejak beberapa hari yang lalu. Apabila Suraya mendapat surat untuk ujian bertulis yang akan diadakan di Merlin Tower, Johor Bahru, perkara pertama yang ibu fikirkan ialah bagaimana dia hendak ke sana. Pelbagai kaedah yang kami cadangkan tetapi semua ditolaknya dengan pelbagai alasan. Ibu tahu, dia mahu ibu bersama-samanya ke sana.
Jumaat 27 APRIL jam 3.00 petang kami sudah berada di stesen keretaapi Seremban. Stesen sudah dibanjiri dengan penumpang. Masalah kami ketika itu adalah mengawal cucu ibu,Haziq. Dia excited melihat ramai orang. Habis semua sudut dijelajahinya. Semua orang disapanya. Kami risaukan keselamatannya. Akhirnya kami terpaksa memberi dia mainan untuk mententeramkannya.


Bunyi wisel ............sebagai isyarat kehadiran Ekspres Rakyat. Kami bergegas ke koc nombor 5. Agak jauh juga dari tempat kami menanti. 5A,5B,5C dan 5D ialah nombor tempat duduk kami. Ibu duduk bersama Haziq yang agak ketakutan ketika itu. Apabila dia sudah ok, lihat sahaja gelagatnya dalam foto-foto yang ada.

Aan dan Suraya leka berbual sahaja. Sekali-sekala ibu dengar mereka ketawa. Entah apalah agaknya yang mengelikan hati mereka. Seronok ibu memerhatikan gelagat mereka. Ibu gembira dengan teamwork mereka. Memandangkan kakak dan abang mempunyai komitmen lain, Aan dan suaminya mengambil tanggungjawab untuk menguruskan misi kami ini. Mereka tidak pernah berkira sangat.
Inilah yang ibu harapkan dan berdoa semoga anak-anak akan sentiasa bermuafakat dan berkasih sayang walaupun ibu tiada lagi di sisi mereka.

Sebenarnya train dan jiwa ibu ada nostalgia tersendiri. Ketika ibu mengikuti kursus perguruan di MPTI ,train merupakan pengangkutan utama ibu setiap kali pulang ke kampung. Labis merupakan daerah pertama ibu dihantar bertugas selepas menamatkan kursus. Ketika di situ train juga menjadi pilihan ibu. Kenangan yang tidak dapat ibu lupakan ketika terpaksa berdiri sepanjang perjalanan pulang ke Seremban dalam keadaan sarat hamil anak pertama ibu. Esoknya terus ke hospital untuk melahirkan kak long. Ketika itu kualiti perkhidmatan train agak menyedihkan. Begitu juga kesedaran sivik masyarakat ketika itu.
Kini perkhidmatan KTM sudah ada peningkatan. Cuma ibu hairan mengapa stesen-stesen kecil langsung tidak ada pembaharuan. Tiada tarikan di situ. Suram sahaja.

Seronok dapat menghabiskan masa berkualiti bersama permata hati. Pada pandangan ibu,bagi mereka yang sentiasa memburu waktu train bukan pengangkutan yang sesuai.

Saturday, 28 April 2012

Saat diuji...
Allah menguji kita dengan sesuatu yang sangat kita sayang, kita diberi cubaan dengan kehilangan.

Allah menguji kita dengan sebuah impian yang amat kita harapkan, kita terduduk berlinang airmata saat impian kecundang…

Ya.. Kita kan hamba pada-Nya yang Esa, kita juga hadapi ujian yang sama seperti ini. Sesungguhnya yakinlah DIA pemberi segala, kerana segalanya kepunyaan-Nya.

Saat ditariknya nikmat yang ada, DIA sedang mengaturkan untukmu sesuatu yang lebih berharga. Jangan bersedih, dunia ini tidak selayaknya ditangisi.

Senyumlah selalu.. 

Monday, 23 April 2012

Untuk insan yang bergelar sahabat :
Lumrah berkawan..

Kadang-kala sering bertengkar, ada masa baik sangat, ada masa jauh sangat..

Ada kala kita tak sependapat, aku kata itu, kau kata ini, aku faham begini, kau faham begitu,

Kadang-kala salah faham, kadang-kala buruk sangka, apa pun yang terjadi..

Aku sentiasa ada di sini, setia menjadi teman mu, sebab aku percaya, sekali kita berkawan, selamanya kita kawan..
  .

Buat teman yang masih ada dendam di hati;
 
♥ Maafkanlah, walaupun hati TAK MAMPU bertahan..
♥ Maafkanlah, walaupun hati terpaksa menanggung KEPERITAN..
♥ Maafkanlah, walaupun hati berkata TIDAK..
♥ Maafkanlah, walaupun hati ini SELALU disakiti..
♥ Maafkanlah, walaupun hati merasa TERPAKSA..

"Memaafkan itu lebih baik dripada berdendam kerana dendam
itu hanya menambah menyakitan hati yang telah disakiti.."

CINTA ABADI - titipan buat permata hati yang sentiasa dalam ingatan;
Sahabatku sekelian yg kukasihi kerana Allah,
Di keheningan malam ini,terdetik di hati,ya Allah,betapa indahnya hidup ini bila dicintai & mencintai..Rasa tenang & bahagia sekali bertemankan cinta suci.Lebih2 lagi jika cinta itu datangnya dari Allah SWT.Cinta yang abadi yang menjanjikan nikmat hingga ke dalam syurgaNYA.
Teringat pula kepada sabda Nabi saw:
Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Allah akan berfirman:" Wahai Jibril, Aku mencintai seorang hamba, maka cintailah dia." Kemudian jibril memanggil penduduk langit dan berkata, "sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia."
Hebatkan bila hati kita mencintai Allah.Taat & patuh kepadaNYA.Rindu memuncak hingga lama dalam munajat padaNYA.Cinta kita disambut dengan begitu baik dariNYA.Allah khabarkan yang Allah cinta kita.Subhanallah! menitis airmata kasih & cinta pada DIA YG MAHA PENGASIH & PENYAYANG.Semoga kita semua terus termasuk ke dalam golongan yg dicintai oleh Allah. Amin...

Sunday, 22 April 2012

Kesian dia......kesian dia..... . Haziq berlari ke arah ibu sambil menjerit-jerit dan menghulurkan kedua-dua tangannya. Itulah gelagatnya apabila dimarahi kerana kenakalannya. Selagi tidak dipujuk dia akan terus menangis. Bingit telinga ibu. Kadang-kadang nak marah juga dibuatnya. Jika dibiarkan, esakannya menjadi-jadi. Kalau dimarahi, lagi kuat tangisannya. Anak kecil tiga tahun ini tidak faham apa-apa. Akhirnya kita yang lebih matang inilah yang beralah.

Sayang dia, kesian dia...... siapa buat sayang?......... Ayat-ayat itu sudah cukup untuk menghentikan tangisannya. Bagai magis, Haziq akan tersenyum kembali, menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Ibu yang agak garang dan tegas dengan anak-anak cair dengan sikap manjanya.

 Petang tadi ibu Haziq pulang ke rumah ibu. Seperti biasa kepulangannya disambut gelak tawa anak kesayangan. Sebelum senja kami keluar untuk ronda-ronda sekitar bandar PD. Situasi ini sudah menjadi kelaziman kami. Ibu secara peribadi memang memerlukan sedikit ruang untuk merehatkan minda ibu. Memandang ke arah laut yang luas saujana mata memandang memberikan ketenangan kepada sesiapa sahaja.

Lokasi yang sering menjadi tarikan kami bertiga ialah pantai di waterfront PD. Dekat situ ada outlet makanan segera . Itulah tempat kesukaan Haziq. Dia tidak hairan dengan makanan segera di situ. Yang menjadi tarikannya ialah lambang jenama makanan segera itu. Sementara Haziq menghabiskan ais krimnya,kami berbual-bual sambil memerhatikan gelagat orang ramai yang berada di sekitar pantai. Ada sahaja cerita lucu yang Aan akan utarakan. Ibu tahu di sebalik ketawanya, Aan sebenar agak stress dengan jawatan yang disandangnya. Tugasnya sebagai pegawai kawalan trafik udara yang berisiko tinggi memerlukan fokus dan tumpuan. Menyedari beban tugasnya, ibu cuba membantu mengurangkan tekanan yang dialaminya. Saat bersamanya, ibu cuba elakkan daripada berbincang isu-isu yang serious.


Menjelang senja, kami beredar dari situ dengan harapan esok masih ada ...........

Wednesday, 18 April 2012

Entri hari ini nak promote diri sendirilah. Khas untuk tatapan anak-anak yang dikasihi. Mungkin ada sisi lain ibu yang anak-anak tidak mengetahui ataupun ibu terlupa nak beritahu. Sebenarnya kami suka berkumpul apabila ada peluang. Selain bercerita hal terkini keluarga masing-masing, kami suka menatap foto-foto lama kami. Ketika inilah keluar pelbagai cerita atau peristiwa yang berlaku di sebalik foto tersebut. Suasana itu mengimbau kembali zaman kanak-kanak atau remaja masing-masing. Gelak tawa sehingga berair mata. Ingat anak-anak ketawa ni ada batasannya. Nabi Muhammad sudah berpesan. Jangan lupa itu. Entri ini juga ibu nak berkongsi dengan dua orang adik kesayangan ibu.
Abah ibu seorang tentera masa mudanya. Zaman kanak-kanak ibu dihabiskan dalam kem tentera. Seingat ibu sehingga ibu tamat persekolahan tingkatan lima, ibu masih menetap di dalam kem tentera. Sudah biasa melihat pakaian celoreng dan senjata yang mereka pikul. Gelagat perajurit-perajurit muda yang sering mengurat kami sudah menjadi perkara lumrah. Kadang-kadang kami layan juga tetapi tetap ada batasannya. Abah ibu garang orangnya. Apabila sepasanng matanya dibesarkan dan menjadi merah, lebih baik berundur. Jika tidak, tali pinggang tenteranya akan melilit kaki kami. Ibu ada dua orang adik perempuan. Ketika remaja kami sangat rapat. Banyak rahsia kami simpan bersama. Sehingga kini kami masih akrab seperti dahulu. Emak ibu menjual kuih-muih dan nasi lemak untuk menambah pendapatan keluarga. kami semua ada peranan masing-masing bagi menjayakan bisnes emak. Abang dan adik-adik lelaki akan menguruskan jualan. Manakala kami yang perempuan akan membantu emak membuat kuih. Berkat tunjuk ajar emak kami cekap membuat kuih-muih tempatan ni. Ada masa kami yang perempuan diminta menghantar hasil jualan ke kantin tentera. Masa ini berlaku pelbagai peristiwa lucu. Bayangkan sepanjang perjalanan ke kantin, kami akan melalui berek-berek bujang. Mereka akan keluar beramai-ramai sambil bersorak. Pernah adik-adik ibu disembunyikan dalam almari . Ibu yakin senario ini sudah tidak wujud lagi dalam kem tentera sekarang.

Ketika abah bertugas di Kota Kinabalu, kami sekeluarga berpeluang mengikutinya. Berpindahlah kami ke sana. Emak masih meneruskan bisnesnya secara kecil-kecilan. Ketika itu kami semua sudah meningkat dewasa. Ibu meneruskan pelajaran ibu sehingga tamat tingkatan lima. Ketika itu ibu sudah ada teman istimewa. Kami selalu belajar bersama-sama di perpustakaan. Emak dan abah tahu tetapi mereka tidak pernah bertanya apa-apapun. Jauh di sudut hati ibu,ibu tahu mereka tidak begitu gembira. Berbeza situasi ketika itu jika dibandingkan dengan situasi sekarang. Ibu dan anak-anak lebih telus . Perhubungan ibu dengan teman ibu itu putus begitu sahaja setelah ibu dan keluarga pulang ke Semenanjung. Alhamdulillah setelah empat puluh tahun berpisah, kami bertemu kembali. Bertemu dalam suasana yang berbeza. Kami berdua sudah ada status baru iaitu atuk dan nenek. Maha Pencipta empunya  rahsia. Kehidupan kita disusun cantik. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ibu berharap teman ibu itu, akan terus berbahagia dengan keluarganya dan tetap menjadi sahabat ibu. 


 Setelah tamat persekolahan, ibu mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim di Johor Bahru. Sepanjang dua tahun mengikuti kursus tersebut, banyak pengalaman menarik yang ibu peroleh. Maklumlah ketika itu baru berusia 20 tahun. Masih bersemangat dan energetik. Setelah tamat berkursus ibu mendirikan rumah tangga dengan seorang tentera juga. Hj. Muslim nama suami ibu. Lima orang cahaya mata lahir atas dasar kasih sayang kami. Kini tiga puluh lima tahun usia perkahwinan kami.


Sepanjang menjadi pendidik, ibu telah bertukar ke beberapa buah sekolah di tanah air. Itupun kerana mengikut suami bertukar kerana tugas. Sekolah pertama tempat ibu bertugas ialah di Labis,Johor. Ibu pernah mengajar di Kuala Perlis, Perlis. Sekolah terakhir tempat ibu bertugas ialah SRK Port Dickson. Ketika berusia lima puluh tahun, ibu memohon untuk bersara pilihan. Sebenarnya ibu sayang dengan kerjaya ibu tetapi kasih ibu terhadap teman hidup mengatasi segalanya. Suami ibu telah bersara dahulu dan sering bersendirian di rumah. Jadi ibu mahu menemaninya tambahan pula kesihatannya tidak menentu.


Alhamdulillah ibu tidak membuat keputusan yang salah. Ibu dapat menikmati kehidupan yang berbaki ini lebih bahagia di samping suami, anak-anak dan cucu-cucu. Pada 2004, anak ibu kak long telah melangsungkan perkahwinannya. Beberapa minggu selepas majlis itu, kami telah menunaikan tuntutan Rukun Islam yang ke 5. Alhamdulillah diberi peluang untuk menjadi tetamu Allah. 

Ada kalanya, ibu rindu akan teman-teman yang pernah bertugas bersama. Mujurlah ada kemudahan teknologi masa kini . Kami sering berhubung jika ada masa. Apabila bertemu anak-anak didik yang sudah berjawatan atau berkeluarga , gembira dan bangga dalam hati ibu. Mereka  anak-anak didik yang budiman tidak lupa kepada guru yang pernah mendidik mereka.




Sudah hampir enam tahun ibu bersara. Walaupun tidak berada dalam dunia pendidikan lagi, ibu tetap mengikuti perkembangan pendidikan negara. Ibu ada lebih banyak masa untuk membaca. Itulah minat ibu sejak kecil. Bahan bacaan, ibu pelbagaikan agar tidak bosan. Ibu gemar membuat catatan selepas membaca. Anak ibu, kak long mencadangkan agar ibu punya blog sendiri supaya ibu dapat menulis dan menyimpan catatan dengan lebih baik. Akhirnya lahirlah "Bicara Hati Ibu" ini dengan bantuan kak long. Ibu gembira kerana blog ini mendekatkan ibu dengan anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Itulah fokus ibu sebenarnya.

Alhamdulillah. Syukur ibu ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya masih dapat menikmati kehidupan yang sihat dan bahagia di samping insan yang ibu kasihi. Mudah-mudahan kita akan tetap berkasih sayang sehingga dijemput kembali oleh Maha Pencipta kita.

Saturday, 14 April 2012


Sudah dua hari ibu berada di rumah anak ibu, Rifhan. Ibu kerap ke sini untuk bertukar angin. Ibu suka akan suasana di negeri Melaka ini. Suasana kampung yang nyaman dan masih mengekalkan budaya tradisional sering merangsang minda ibu untuk mengimbau kembali zaman kanak-kanak ibu. Setiap kali ibu ke sini, Rifhan pasti menjadi tourist guide ibu.

Kami akan meronda ke banyak lokasi sambil menikmati keindahan tempat-tempat tersebut. Walaupun mengekalkan ciri-ciri tradisonal, negeri Melaka mempunyai infrastruktur yang moden dan tersusun. Mempunyai banyak laluan yang dapat membantu mengelakkan kesesakan jalan raya pada waktu kemuncak. Ibu berpendapat senario itu yang menjadi keutamaan kita dalam kehidupan yang hectic ini.
'Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau'. Itulah slogan negeri Melaka. Buatlah justifikasi sendiri apa yang dimaksudkan dengan slogan tersebut. 


Tanjung Bidara merupakan sebuah pantai yang terkenal di negeri Melaka dalam daerah Alor Gajah. Pantai Tanjung Bidara terletak bersebelahan dengan Kem Terendak, sebuah kem tentera. Pantai yang terletak 10 km dari bandar Masjid Tanah ini merupakan pantai perkelahan yang terkenal di negeri Melaka. Tiap kali melalui simpang  untu ke Tanjung Bidara, ibu akan singgah di sebuah gerai yang menjual kuih-kuih tempatan dan makanan lain. Yang menjadi kegemaran kami ialah 'coconut shake'. Minuman yang dapat menghilangkan dahaga ini adalah campuran isi kelapa dan susu. Enak tetapi perlu hati-hati kerana isi kelapa itu bercampur dengan bendasing yang buat kita rasa kering tekak.
Daerah Alor Gajah ini terletak lebih kurang 24 km dari bandar Melaka. Mengikut sejarah yang ibu baca,Alor Gajah pada mulanya didiami oleh orang Minangkabau pada kurun ke-12. Kini daerah Alor Gajah sudah pesat membangun. 
 
Kita boleh ke Menara Taming Sari untuk melihat panorama indah di sekitar negeri Melaka. Dibuka sejak tahun 2006, menara berketinggian 110 meter ini, reka bentuknya diilhamkan daripada sebilah keris Taming Sari kepunyaan Hang Tuah. Suasana malam di sekitar bandar Melaka dapat dinikmati dari atas Menara Tamimg Sari.


Muzium Samudera merupakan replika kapal Flor de La Mar .Muzium Samudera ini terletak di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka. Dibina berdasarkan replika Kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar. Turut dipamerkan ialah lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka.


Ibu sudah penat bercerita. Ibu berpendapat lebih baik anak-anak berkunjung sendiri ke Melaka. Ada pepatah yang mengatakan jauh berjalan banyak pengalaman,lama hidup banyak dirasa.

Monday, 9 April 2012

Kali ini entri ibu penuh 'feeling'. Bukan macam lirik lagu Feeling nyanyian Morris Albert atau Frank Sinetra atau  Andy William  ataupun  Rayy Conif.
Hari ini,tanggal 9 APRIL adalah hari lahir suami ibu. Hj Muslim bin Hj Mad Saman. Tiada kek, tiada hadiah dan tiada kad ucapan. Ibu sudah memikirkan bagaimana cara untuk menyambutnya. Masa muda-muda dahulu, ibu selalu mengirimkan kad ucapan yang ibu alamatkan ke tempat kerja beliau. Walaupun kami tinggal serumah ibu suka dengan cara itu. Suami ibu juga suka. Tiap kali mendapat kad,beliau pulang dengan senyuman yang membahagiakan ibu apabila melihatnya. Apabila usia kami meniti senja, anak-anak pula mengambil alih tugas membuat kejutan. Apa signifikan menyambut hari lahir ini? Tiada kepentingan dari sudut agamapun. Tetapi, ibu memandangnya dari sudut nilai-nilai kasih sayang. Apa sahaja kita sanggup lakukan untuk menunjukkan penghargaan kepada orang-orang yang kita kasih asalkan tidak membelakangi hukum dan syariat.

Pagi ini seperti biasa, ibu dan suami bersiap-siap untuk menunaikan solat sunat fajar. Lazimnya suami ibu akan ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Mahu hidupkan sunnah Nabi Muhammad saw yang kita kasihi.
Selepas  solat Subuh, ibu membaca ayat-ayat suci sementara menanti kepulangan suami dari surau. Apabila ibu dengar bunyi daun pintu dibuka, ibu cepat-cepat bersedia untuk memberi kejutan kepada suami. Apabila Hj Muslim mampir saje dekat ibu, ibu hulurkan kedua-dua tangan ibu sambil memberi ucapan. Ibu berikan kucupan kasih ke dua-dua belah pipinya. Ibu mohon ampun atas semua kesalahan ibu. Walaupun tidak menitiskan air mata tetapi mata tetap berkaca. Ibu tahu, suami ibu ini sudah lali benar dengan sikap penyedih wanita yang sudah hampir 35 tahun menjadi isterinya. Tanpa diduga suami memberi respon. Ibu tahu dari raut wajahnya, beliau terharu dengan tindakan spontan ibu. (sebenarnya ibupun terkejut dengan tindakan daring ibu ini) Beliau terus berlalu meninggalkan ibu tanpa sepatah katapun. Ibu tahu suami ibu sedih........

Ibu sedar, suami ibu tidak akan membaca entri ibu ini. Dunia beliau bukan dunia alam maya. Tetapi, ibu tetap berasa puas kerana dapat menyatakan isi hati ibu di ruang maya ini. Fokus entri ibu adalah untuk rujukan anak-anak. Ibu mahu nyatakan kepada mereka bahawa kasih sayang dapat diungkapkan dengan apa cara sekalipun.

Inilah ceritera kasih sayang ibu kepada seorang lelaki yang bergelar SUAMI..........



Sunday, 8 April 2012

Tiada apa yang membahagiakan hati seorang ibu melainkan saat-saat bersama semua permata hatinya. Ketika kecil menjadi kewajipan ibu dan ayah menjaga dan menguruskan anak-anak. Tetapi setelah meningkat dewasa dan mempunyai kehidupan masing-masing, anak-anak tidak lagi menjadi komitmen ibu dan ayah. Jarak dan  kesibukan sering menjadi pemisah antara anak-anak dan ibu.

Ibu masih bertuah mempunyai anak-anak yang masih kaya dengan kasih sayang dan utuh ikatan persaudaraan.Setiap hujung minggu ada anak-anak yang pulang menziarahi kami. Walaupun pertemuan singkat,kami tetap menggunakan masa yang berkualiti itu secara optimum.

Minggu ini Aan dan suami bermalam di rumah ibu. Cucu ibulah yang paling gembira kerana dapat bermanja dengan ayah yang selalu dirindui. Ayah...Ayah.. Ke mana sahaja ayahnya berada pasti Haziq ekori. Ayah yang baru habis syif malam terpaksa melayan kerenah anak kesayangan walaupun tidur menjadi pilihan utama ketika itu. Saat itu ibu cuba menjauhkan diri dari senario tersebut kerana ibu mahu Aan dan suami mengambil alih tugas mengurus anaknya walaupun dalam masa yang agak singkat. Ibu mahu 'bonding session' itu mereka hargai sebaik mungkin. Petang tadi selepas Asar mereka pulang ke Melaka. Mereka terpaksa pulang ketika Haziq tidur kerana mereka tidak sanggup melihat anak kesayangan menangis teresak-esak mahu mengikut mereka. Ibu sudah mengalami saat-saat ini dahulu. Jadi air mata sudah tidak relevan lagi ketika itu tetapi pilu dalam hati, Allah sahaja yang maha mengetahui.

 Petang tadi, Ariff,Yana dan Kiz pula datang. Ketika ini Ariff sedang mengikuti kursus di Terengganu. Ariff dan famili pulang bercuti. Keletah cucu ibu, Kiz menghiburkan kami. Haziqpun nampaknya sudah dapat menerima kehadiran Balqis. Alhamdulillah, sudah bijak cucu-cucu ibu ini. Besan ibu ada membisikkan berita gembira hari itu. Menantu ibu, Yana hamil lagi. Syukur kepada-Nya. 

Setiap kali anak-anak pulang ke rumah, ibulah yang sering menyediakan hidangan makanan untuk mereka. Lelah ibu akan segera hilang apabila melihat anak-anak menikmati hidangan. Hidangan yang disediakan dengan penuh kasih-sayang dan tidak lupa zikrullah dapat menambat hati mereka. Itulah pesan arwah nenek mereka. Mudah-mudahan permata hati ibu akan bertambah sihat dan bertambah kasih kepada Allah swt dan Nabi Muhammad saw. 
Ibu tertarik dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Dato' Seri sharizat Abdul Jalil tentang Empty Nest Syndrome.  Ibu cuba dapatkan info tentang Empty Nest Syndrome untuk tatapan anak-anak. Harapan ibu agar anak-anak ibu dapat berkongsi maklumat ini dengan teman-teman lain.
 Hanya berikut yang ibu mampu peroleh dalam masa yang terhad ini:
 
Empty Nest Syndrome refers to feelings of depression, sadness, and/or grief experienced by parents and caregivers after children come of age and leave their childhood homes. This may occur when children go to college or get married. Women are more likely than men to be affected.

Monday, 2 April 2012

Hari ini ibu memenuhi temu janji di Klinik Nur Sejahtera. Ibu senang sekali dengan perkhidmatan yang disediakan di klinik ini. Semua pegawai perubatan yang bertugas merupakan wanita. Sesuailah dengan kehendak agama. Sikap mereka yang peramah dan senang didekati menyebabkan ibu sangat selesa. Klinik Nur Sejahtera di bawah kelolaan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara. Kos rawatan yang dikenakan sangat berpatutan. Selain menjalani saringan pap smear, ibu juga berkesempatan menjalani ujian darah,glukos dan kolestrol dan akan menyusul saringan mamogram pada tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak klinik. 
Alhamdulilah dengan izin Allah ibu masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat kesihatan yang baik. Mudah-mudahan peluang yang Allah kurniakan ini akan ibu gunakan sebaik mungkin.
 Teringat pula ibu kepada puteri-puteri ibu yang dikasihi. Sudahkah mereka lakukan seperti apa yang telah ibu lakukan? Yang telah berumah tangga khususnya. Ibu telah membuat research untuk mereka.
Ujian saringan pap smear amat penting bagi kaum wanita kerana ujian tersebut dapat membantu mengesan barah pangkal rahim di peringkat awal supaya rawatan yang berkesan dapat diberikan dengan segera. Oleh itu, ibu berpendapat amat penting golongan wanita menjalani pemeriksaan pap smear secara berkala kerana barah pangkal rahim merupakan penyakit barah kedua tertinggi kejadiannya di kalangan golongan wanita selepas barah payu dara. Ujian pap smear dilakukan bertujuan untuk mengesan perubahan sel yang tidak normal pada bahagian pangkal rahim. Mungkin ada rasa kurang selesa ketika ujian ini dilakukan tetapi  tidak menyakitkan dan hanya beberapa minit sahaja ujian pap smear siap dijalankan. Pemeriksaan saringan pap smear secara berkala perlu dilakukan mengikut nasihat pakar perubatan. Kepada puteri-puteri ibu yang telah berumah tangga jangan lupa untuk menjalani saringan pap smear. Ibu tahu ada yang takut untuk menjalani ujian tersebut. 
Jangan kita lupa kepada pepatah Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat. Menjaga kesihatan  merupakan  satu aspek yang penting yang perlu dipelihara sebagai Muslim yang mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup. Tanpa kesihatan yang baik, bagaimana kita boleh tampil ke hadapan sebagai pemimpin dan pejuang yang kuat dalam usaha menegakkan kalimah Allah? 
Ketika kecil kuat menangis. Dilahirkan pada subuh 6 Julai di rumah ibu. Mulai saat pertama melihat dunia,Ariff menangis tanpa henti sehingga beberapa jam. Tidak dapat hendak digambarkan panik kami sekeluarga. Pada awal usianya, Ariff memang kerap menangis.Sehingga usianya menjangkau dua tahun barulah dia kembali normal seperti anak-anak lain. Ketika itu suaranya sudah menjadi parau sedikit.Mengikut kata doktor, itu kesan daripada kerap sangat menangis.    
                    

Ibu yang ketika itu bertugas sebagai pendididk tidak menang tangan menguruskannya. Ketika ibu baru sahaja hendak melelapkan mata, Ariff pula sibuk hendak bermain. Waktu tidur sering terganggu. Sesungguhnya kasih ibu tiada batasan. Alhamdulillah semua masalah pasti ada penyelesaiannya. Dengan izin Allah kami dapat membesarkan Ariff seperti anak-anak lain.

 Zaman persekolahannya menyeronokkan. Ibu sentiasa ambil tahu apa yang anak-anak buat. Jadi ibu tahu siapa  anak ibu yang aktif sukan, badan beruniform ataupun kaki bangku. Semua ada dalam kocek ibu. Ariff aktif dalam pergerakan pengakap. Dia selalu menyertai perkhemahan pengakap. Ketika di sekolah rendah dan menengah dia merupakan pengawas sekolah. Ketika di sekolah menengah, Ariff bersekolah di tempat ibu mengajar. Ada hari-hari tertentu dia akan ditugaskan untuk melafazkan Rukun Negara atau membaca doa di hadapan perhimpunan. Ketika itu ibu selalu kecut perut. Takut kalau-kalau dia membuat kesilapan. Pernah berlaku dalam perhimpunan mingguan kawannya terbaca doa makan.

 
 Pencapaian akademik Ariff tidak mengecewakan ibu. Ibu tahu dia rajin berusaha untuk mencapai apa yang dia hasratkan. Ibu cuma perlu bantu di mana perlu. Pernah ketika Ariff sedang mengulangkaji untuk peperiksaannya, kami bekerjasama menyediakan nota-nota penting. Ariff punya cara tersendiri untuk belajar.  Ibu cuma memantau dari jauh sahaja dan membantu jika diperlukan.


 
Setelah tamat alam persekolahan,Ariff menerima banyak tawaran belajar tetapi tawaran dari ALAM telah menarik minatnya. Dia mahu menjadi seorang pelaut. Ibu mengiyakan sahaja hasratnya walaupun dalam hati meronta-ronta mahu sahaja ibu katakan jangan. Alhamdulillah pengalaman telah mematangkan Ariff. Benarlah kata bijak pandai, pengalaman adalah sekolah terbaik untuk kita. Kini ibu lihat Ariff lebih cekal menguruskan kehidupannya secekal Seri Balqis membelah lautan luas.

Nur Eliana, suri di hati Ariff. Mereka mendirikan rumah tangga beberapa tahun yang lalu. Anak kelahiran Port Dickson itu merupakan wanita yang berbudi luhur. Tutur bicaranya yang sentiasa berhemah sangat ibu senangi. Yana tabah menjalani kehidupan harian ketika Ariff belayar selama beberapa bulan.Mereka merupakan mummy dan daddy kepada puteri comel,Alisha Balqis yang bakal berusia dua tahun tidak lama lagi. Doa ibu sentiasa mengiringi mereka walau di mana mereka berada.
Kepada Ariff dan Yana, ibu titipkan Wasiat Luqman a.s. kepada anaknya sebagai panduan.
  • Anakku, suruhlah orang melakukan kebaikan,tegahlah kemungkaran dan sabarlah kamu atas segala yang menimpa.
  • Wahai anakku, ingatlah Allah banyak-banyak sesungguhnya Allah mengingati orang-orang yang mengingati-Nya
  • Anakku, tidak ada yang lebih bernilai di sisi Allah, lebih daripada akal.
  • Engkau hendaklah tawadhuk ( merendah diri ).
  • Anakku, sepandai-pandai manusia adalah yang paling takut kepada Allah.