Wednesday, 28 March 2012

Kak long melangsungkan perkahwinannya pada 5 Disember. Setiap tahun kami menyambut ulangtahun perkahwinan pada tarikh yang sama. Ibu juga berkahwin pada tarikh yang sama tiga puluh empat tahun lalu. 
 Suaminya,Azhar berasal dari Perak. Seorang suami dan abah yang sangat istimewa pada pandangan ibu. Di sebalik keluhuran dan sikap merendah dirinya,terungkap cita-cita tinggi melangit. Ibu suka akan sikapnya yang berwawasan. Tidak pernah duduk diam,ada sahaja yang hendak dilakukan.Yang pasti apa yang dilakukan memberi pulangan yang lumayan. Iza, panggilan manja suami untuk kak long.  Mereka berdua bertugas di salah sebuah Kolej Komuniti di Perak.
Kak long melalui zaman kanak-kanak sama seperti anak-anak lain. Tetapi, ibu bertanggapan dia cepat matang berbanding usianya. Sesuailah dengan panggilan kak long kepada empat orang adik-adik yang lain. Dia pengganti ibu ketika ketiadaan ibu di rumah. Alhamdulillah, kak long juga cemerlang dalam akademiknya.
Graduan jurusan fesyen ini, minat dengan kerja-kerja seni khususnya seni kraf. kak long mempunyai minat yang sama seperti ibu. Kak long dan suami mempunyai kepakaran dalam bidang masakan. Rajin melayan kerenah adik-adik ketika pulang bercuti ke rumah ibu.
Mereka dikurniakan dua orang puteri cilik yang menjadi dambaan setiap pasangan yang berkahwin. Nurliana Batrisya dan Aisya Qistina nama diberi. Keletah mereka menjadi penyejuk hati umi dan abah. Setiap hari pulang sahaja dari kerja, kedua-dua nona manis ini sudah siap untuk dibawa bersiar-siar di sekitar bandar oleh umi atau abah.
Kepada umi dan abah, ibu berpesan agar tidak lupa memberi pendidikan iman kerana kanak-kanak pada usia Batrisya banyak bertanya tentang cara kewujudannya,dan gambaran tentang Tuhannya. Selain itu jangan lupa mengasuh mereka mencintai al-Quran dan mencintai keluarga Nabi dan para sahabat. Ibu mendoakan kesejahteraan keluarga kak long.
Untuk renungan kak long dan suami
Ibn Khaldun berkata:
"Anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih daripada yang diambil dengan cara nasihat dan tunjuk ajar."
( Al-Muqaddimah )

Monday, 26 March 2012

KEMATIAN....Itulah perkataan yang digeruni tetapi tidak mampu ditolak.Setiap yang hidup akan berkesudahan dengan kematian. Itulah yang diajarkan kepada kita semua. Ibu tahu, anak-anakpun tahu tentang perkara ini.
Kenyataan tentang kematian dikukuhkan lagi dengan firman Allah s.w.t dalam surah Ali -Imran ayat 185 yang bermaksud : Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai kematian.
Kematian adalah perpindahan dari alam dunia ke alam lain,yang juga milik Allah s.w.t. Perjalanan dari alam fana  ke alam kekal untuk memetik hasilnya pasti dilalui setiap insan.

Untuk anak-anak ibu yang dikasihi, ingin ibu titipkan nasihat dan pesanan. Alangkah ruginya jika kita terlalu banyak keinginan,angan-angan dan harapan tetapi tidak diimbangi dengan peningkatan kualiti diri.
Usia muda sering dijadikan alasan untuk mudah digoda syaitan. Pandai pula tutur bicara nak muda jika diminta bertaubat. Kata mereka tidak mengapa, apabila tua menjelma baru bertaubat. Tetapi, mereka lupa bahawa maut tidak mengenal usia.
Mengingati mati banyak hikmahnya kepada kita. kita belajar untuk mensyukuri rahmat dan nikmat yang ada di hadapan kita.
Harapan ibu kepada anak-anak , sentiasa menjauhi larangan Allah s.w.t. dan akur dengan perintah-Nya.
Sebagai penutup,hayati maksud firman Allah s.w.t  ini :
'Dan katakan ( wahai Muhammad) berdoalah  kepada-Ku. Nescaya Ku-makbulkan permintaanmu. Sesungguhnya mereka yang takbur dan enggan beribadat kepada-Ku akan dicampakkan ke dalam neraka Jahanam yang perit azabnya.'

Friday, 23 March 2012

Rifhan membawa maksud kemewahan. Namanya istimewa. Sudah tentu orangnyapun istimewa. Ini anak ibu yang ke empat. Dia lebih popular dengan panggilan Aan. Anak buah panggil Mak An. Berkulit hitam manis.Senyumannya menawan. Tapi awas! Senyumannya bertempat.
Berpegang kepada prinsip dan tidak mudah terpengaruh oleh orang lain.Ketika kecil tidak banyak kerenah.Senang kerja ibu. Jika dimarahi kerana melakukan kesalahan,Aan akan berdiri tegak menanti hukuman. Ibu tidak perlu mengejarnya untuk dirotan. Sebab itu ibu kata mudah menguruskan Aan. Bijak dalam Matematik dan pandai mengaji. Aan bersekolah di tempat ibu mengajar. Semua tindak-tanduknya ibu tahu. Semua anak ibu yang bersekolah di tempat ibu mengajar,sudah diberi amaran agar menjaga tingkah laku. Mesti jaga nama baik ibu sebagai pendidik. Nampaknya Aan akur dengan pesanan ibu. Banyak pencapaian yang diperoleh ketika zaman persekolahan. Dia pernah mewakili koperasi sekolah dalam satu pertandingan sehingga ke peringkat negeri.


Tamat persekolahan, Aan mendapat banyak tawaran belajar. Antaranya di UTM. Memandangkan kursus yang ditawarkan tidak relevan di pasaran maka dia telah memilih untuk mengikuti bidang kejuruteraan di  sebuah institusi kerajaan. Setelah tamat belajar Aan bertugas sebagai anggota kastam di Pelabuhan Klang.Setelah beberapa bulan bertugas Aan melangsungkan perkahwinan dengan teman sekuliah dahulu. Noor Hazelan, menantu ibu berasal dari Penanti. Orangnya kaya dengan budi bahasa dan lembut tutur bicaranya. Mudah-mudahan menjadi suami yang soleh dan dapat melindungi Aan sehingga akhir hayat. Insyaallah......
Kehadiran cahaya mata pertama disambut dengan gembira. Bayi mongel ( tahuke maksud perkataan ini? carilah dalam kamus dewan ) menjadi kesayangan ayah dan ibunya. Semasa Aan berkursus di DCA, ibu mengambil tanggung jawab menjaga Noor Haziq. Kini Aan bertugas sebagai Pegawai trafik udara di salah sebuah lapangan terbang di Malaysia. Haziq masih bersama ibu dan menjadi kesayangan keluarga.

Wednesday, 21 March 2012

"Esok kita makan nasi goreng untuk sarapan ya.......", jerit anak bongsu ibu dari dalam biliknya. Ibu mengiyakan sahaja permintaan anak gadis kesayangan kami. Jarang ibu dan suami menghampakan anak-anak jika berkaitan dengan makanan. Bahan-bahan untuk memasak sentiasa ada dalam peti sejuk. Kalau tidak ada bahan yang diperlukan, pandai-pandailah kami sesuaikan dengan apa yang ada. Yang diperlukan cuma inisiatif dan kreativiti.

Apa yang mahu ibu kongsikan adalah perbezaan sikap anak-anak ibu dan sikap ibu semasa seusia mereka. Mereka lebih terbuka dan telus. Mudah meluahkan perasaan. Berani mengeluarkan pendapat. Ibu menerima sikap ini secara positif. Apabila berlaku perbezaan pendapat, anak-anak dapat meluahkan apa yang terbuku di hati tanpa rasa takut. Ibu tidak mengganggap perilaku mereka biadab.Selalunya selepas sesi 'bertikam lidah' kami jadi lebih akrab dan saling menghormati. kami lebih faham kehendak masing-masing.

Semasa ibu seusia mereka, kalau hitam kata mak dan abah,hitamlah kata ibu. Jika tidak bersetuju, makan hatilah jawabnya. Andaikata ibu menjerit seperti apa yang anak ibu buat tadi, alamat sampailah pelempang sulung mak ibu. Apapun cara atau kaedah mendidik anak-anak,keikhlasan dan niat itu yang menentukan keberkatan. Kredit kepada mak dan abah yang telah mendidik ibu sehingga menjadi ibu yang disayangi anak-anak.
Angah, abang ngah, ayah angah. Itulah panggilan hormat oleh adik-adik dan anak buah untuk anak bujang ibu,Nurman.Dia anak ibu yang kedua. Beza umurnya dengan kak long hanya satu tahun sahaja.Ketika kecil mereka sangat akrab. Ibu masih ingat lagi,ketika mereka berpisah kerana kak long dijaga oleh neneknya.Abang ngah asyik merengek sahaja. Kami  mengambil semula kak long walaupun terpaksa berdepan dengan kerenah atuk dan nenek mereka. Berminggu-minggu lamanya atuk dan nenek mereka merajuk. Alhamdulillah ibu dan suami tidak pula bersikap demikian apabila sudah bergelar nenek dan atuk.

 Anak bujang ibu ini hebat juga. ketika bersekolah rendah di Perlis,dia merupakan pemain bola sepak untuk pasukan negeri. Sokongan padu yang ibu berikan kepadanya memberi peluang kepada ibu berkenalan dengan jurulatihnya,Cikgu Zul. Seorang anak muda yang sangat dedikasi dengan tugasnya.


Masa remaja, muzik underground jadi kegilaan. Ibu memantau dari jauh agar tidak berlebih-lebih sangat.Apabila dewasa,
 genre muziknya tetap sama hanya attitude sahaja sudah bertukar.Lebih chill... ( meminjam kata anak-anak muda ).


Jika sekali pandang, jejaka ini nampak tegas dan panas baran. Tetapi ibu tahu ....jauh di sudut hatinya ada kelembutan dan kasih sayang yang telah kami semai sejak dia kecil. Selang sehari dia akan menghubungi ibu untuk bertanya khabar. Ibu cukup terhibur dengan ayat-ayat lucunya. 


Sentiasa mahu kelihatan segak dan bergaya.Sejak kecil lagi sudah ada sikap itu. Dia selalu jadi orang yang terakhir bersiap. Sehingga kini,ibu perhatikan Nurman masih mengekalkan sikap itu. Ibu tidak lupa menitipkan pesanan agar tidak ikut pepatah popular ini, 'Biar papa asalkan bergaya'.

Masih bujang walaupun sudah berusia awal tiga puluhan. Belum ada jodoh katanya. Risau juga ibu apabila memikirkannya. Bekerja di ibu kota dan tinggal bersendirian. Kalau sudah berumahtangga pasti ada yang menguruskan keperluannya. Doa ibu, mudah-mudahan dia bertemu jodoh sebelum kami dijemput kembali......

Tuesday, 20 March 2012

Allah s.w.t telah menganugerahkan kehidupan di atas muka bumi ini kepada kita.Kita dikurniakan zuriat dan keturunan. Zuriat inilah yang menjadi generasi pelapis selepas kita kembali untuk bertemu dengan Allah. Mereka inilah anak-anak yang kita kasihi.Ibu ada terbaca dalam satu artikel tulisan seorang pendakwah. Mengikut kata beliau,tidak salah mendidik anak menjadi hebat dalam apa jua bidang,tetapi biarlah dia hebat dan soleh. Barulah kejayaan tarbiah kita itu lengkap dan bermakna di dunia dan akhirat. Mungkin nasihat ini agak lewat untuk ibu ikuti memandangkan semua permata hati ibu sudah dewasa. Namun ibu ingin mengingatkan anak-anak ibu yang sudah ada keluarga supaya mengambil kira secara serious hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak.
Kita pasti tidak mahu anak-anak berjaya cemerlang dan hebat duniawi sahaja. Tetapi malang, anak ini daif iman dan miskin ilmu serta penghayatan syariat.

Sekadar renungan:

   Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

  • Awal-awal agama ialah mengenal Allah.
  • Tidak ada anak dalam sesebuah keluarga melainkan mulialah keluarga itu.
  • Berilah nama yang baik kepadanya, ajarlah ia akhlak yang baik dan letakkanlah dia di tempat yang baik.

   


.

Gentleman, beware! Whoever likes to eat crappy food, definitely it is NOT a reward.....

Gout results when certain crystals are formed as an end product of improper protein metabolism. These crystals are deposited in joint,forming a bump or growth that irritates causing joint to become inflamed.
Causes :
 >    obesity
 >    increasing age
 >    temperament
 >    improper diet
   
Take adequate fluids to expell crystals and prevent their buildup in the kidneys and urinery tract.

Avoid  :
 *   alcohol
 *   caffeine
 *   meat gravies / stocks
 *   chocolate
 *   sweetbreads
 *   shellfish,sardine, anchovies
 *   cauliflower,peas
      and other foods that contain purines,substances from which uric acid is formed.

Fruits,vegetables and juices aid uric acid excretion. Foods that neutralize uric acid are strawberries,cherries and celery juice. Nutrients may be helpful. Many gout patients are deficient in B vitamin,resulting in uric acid accumulation.A lack of vitamin E allows excessive formation of uric acid.

Monday, 19 March 2012

Semalam anak ibu Ariff, yang bertugas hampir lima bulan di perantauan pulang. Dahulu sebelum dia berumahtangga, kepulangannya kami sambut di KLIA.Kini setelah berumahtangga tugas itu  diambil alih oleh isteri tercinta. Tiada menjadi masalah kepada ibu kerana keutamaan ibu adalah kebahagiaan mereka.
Awal pagi tadi Ariff beserta isteri dan anak mereka sudah terpancul di hadapan rumah. Alhamdulillah.....dipanjangkan usia ibu untuk bertemu kembali dengannya. Kami bersalaman dan ciuman tanda kasih ibu hinggap di pipi.Ole-ole dari perantauan tidak pernah Ariff lupakan. Paling tidak sebotol parfum dan coklat kegemaran keluarga. Sepanjang perbualan,ibu curi-curi melihat raut wajah anak ibu ini..Nampak berisi,cerah kulitnya. mungkin cuaca di tempat bertugas serasi dengannya. Dia nampak lebih matang sesuai dengan usianya yang menjangkau awal tiga puluhan. Sesuailah dengan peranannya sebagai suami dan daddy kepada Alisha Balqis.Ariff seronok menceritakan pengalamannya di Dubai.Ibu cuba meraikannya dengan memberi banyak ruang untuk dia terus bercerita.Pagi-pagi begini ibu selalunya sibuk menyudahkan rutin rumahtangga yang memang sudah menjadi core business semenjak bersara. Sekali-sekala apa salahnya ibu mengalah. Yang penting kami gembira ketika itu.
Ibu lihat Alisha Balqis sentiasa berada atas pangkuan daddy.Sesaatpun dia tidak berganjak. Betapa rindunya dia akan daddy. Terbayang di kotak  minda ibu ketika mula-mula Ariff mendaftar di ALAM dahulu iaitu kira-kira sembilan tahun lalu.Beberapa malam ibu tidak lena tidur teringatkan dia.kami tidak pernah berpisah.Ketika itu timbul rasa menyesal mengizinkan dia  belajar di sana sebab ibu tahu akhirnya nanti dia akan bertugas jauh di lautan luas, jauh daripada kami.Namun begitu,kehendaknya tidak mampu ibu tolak kerana ibu percaya kepada ketentuan-Nya. Alhamdulillah....nampaknya jauh perjalanan,luas pengalaman Ariff.
 
Setiap orang Islam wajib memelihara dirinya daripada api neraka.Begitu juga keluarganya iaitu anak-anak dan isterinya.Oleh sebab itu wajib setiap ibu bapa mendidik anaknya supaya berakhlak mulia. Jika mereka tidak sanggup mendidik dengan didikan dan ajaran Islam maka wajib menyerahkannya kepada guru. Jika anak-anak tidak diberi didikan agama yang sewajarnya dan anak-anak itu berbuat dosa, maka ibu bapanya turut bertanggungjawab di hadapan Allah SWT atas kesalahan anaknya itu. Jika ibu bapa telah melaksanakan pendidikan itu,tetapi anak itu melawan juga dan berbuat dosa,maka ibu bapa telah terlepas daripada tanggungjawabnya. Sebaliknya jika ibu bapa telah mendidik anaknya menjadi anak yang soleh,maka ibu bapanya mendapat pahala juga daripada amalan anaknya. Jika telah mati anak Adam habislah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diajarkan dan dimanfaatkan orang dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.( hadis Nabi saw )
                                                                                 ( keterangan ayat 6:surah At-Tahrim )

Hadiah buat ibu....

Ku hadiahkan blog ini buat ibu.....
Semoga dengan kehadiran blog ini memberi ibu peluang untuk mencoret seribu satu memori buat tatapan anak-anak ibu tersayang....

Sunday, 18 March 2012

                Kehadiran mereka diraikan tetapi kepulangan mereka ditangisi. Apa yang ibu maksudkan ialah anak-anak dan cucu-cucu yang pulang bercuti menemui kami, atuk dan nenek mereka. Apabila kak long memaklumkan kepulangan mereka ke kampung minggu lepas, kami berasa gembira maklumlah sudah lama tidak bersua. Kak long dan famili menetap di Gerik. Perjalanan dari  rumah ibu ke Gerik mengambil masa lebih kurang enam jam. Kak long pulang bercuti bersama anak-anak sahaja. Suaminya sibuk dengan tugas-tugasnya. Secara peribadi kami kagum dengan semangatnya yang memandu sendiri untuk pulang ke kampung. Kak long merupakan individu yang suka berdikari.


         Pagi tadi Kak long dan anak-anak berangkat pulang ke Gerik setelah menghabiskan cuti selama enam hari bersama-sama kami di sini. Kepada Batrisya dan Aisya, nenek A dan atuk M ucapkan terima kasih kerana kehadiran kalian mengembirakan kami.Kami mendoakan kesejahteraan kalian.
Kalau ada sumur di ladang,boleh saya menumpang mandi,kalau ada umur panjang boleh kita berjumpa lagi....

Friday, 16 March 2012

Pada ibu,untuk menjadi ibubapa yang bijak memerlukan seseorang itu banyak mencari ilmu dan berfikir dengan matang. Cara terbaik adalah dengan sentiasa merapati diri dengan anak-anak sejak mereka masih kecil dan menghormati mereka sebagai seorang individu yang mempunyai harga diri,hormat diri dan memerlukan ruang mereka sendiri untuk membesar. Anak bukan hak kita tetapi tanggungjawab kita. Selain itu,ibu rasa adalah amat penting untuk kita melengkapkan diri supaya dapat dijadikancontoh yang baik untuk diikuti.

Hari ini ibu menemani kak long berkunjung ke rumah Aan. Aan merupakan anak ibu yang keempat dan menetap di Melaka. Sebenarnya kunjungan kami ke sana serampang dua mata. Menziarah sambil melancong. Ibu mahu mendidik cucu-cucu ibu supaya tahu menghargai ikatan persaudaraan. Kenal siapa mak long, ayah angah, ayah chik dan siapa mak su. Mereka juga mesti tahu siapa sepupu-sepupu mereka. Kasih sayang yang dipupuk dari awal akan mengeratkan silatulrahim dalam keluarga. Kasih sayang dan sikap hormat-menghormati kian pupus dalam institusi kekeluargaan kini.

Tuesday, 13 March 2012

              Cuti sekolah datang lagi. Ketika anak-anak masih bersekolah dahulu, ibu sering pening kepala apabila cuti sekolah tiba.. Pening mengatur bagaimana anak-anak yang seramai lima orang itu dapat manfaat daripada cuti sekolah. Memandangkan ibu seorang guru,waktu cuti adalah masa untuk kami menyiapkan pelbagai tugas yang tidak dapat dibereskan pada hari-hari persekolahan. Ini bermakna anak-anakku sayang tidak berpeluang ke mana-mana.Ibu akan membawa anak-anak ke kedai buku untuk mendapatkan buku-buku latihan dan sebagainya. Ibu tentukan dateline supaya latihan yang ada disiapkan. Pada masa yang sama ibu sediakan juga apa sahaja permainan yang dapat membuat mereka sibuk. Tinggallah mereka di rumah. Ibu pula, ke sekolah. Pada masa itu, komputer belum popular. Jadi,ibu tidak perlu risau tentang masalah disiplin mereka. Paling terukpun mereka bertengkar berebut saluran tv ataupun tidak membuat latihan yang disuruh.
Setelah puluhan tahun berlalu, ibu melalui suasana yang sama. kini cucu pertama ibu yang sudah bersekolah pulang bercuti ke rumah nenek A ( ibulah tu....). Ibu dan uminya membuat pelbagai rancangan untuk Batrisya, Aisya dan sepupu mereka Haziq. Sukar rupanya mengurus tiga orang kanak-kanak aktif. Beberapa hari di rumah nenek A bagai diserang garuda. Setiap waktu ada sahaja yang menjerit,menangis dan ketawa.Ada sahaja yang hendak direbut. Ada sahaja yang hendak dibuat. Kalau yang dirancang itu berupa ilmiah sedikit, jawabnya tidak begitu berjaya. Apabila diajak keluar,riuhnya tidak terkira. Akhirnya ibu dan umi yang sesak nafas mengawal keadaan. Namun begitu ibu dan umi tetap gembira kerana dapat meraikan mereka. Itulah penangan kasih ibu.

suami........

Suami yang 'mahal' lagi 'bernilai' pada pandangan Islam ialah suami yang tidak meletakkan darjat & kemuliaan dirinya kepada jumlah isterinya & kecantikan mereka TETAPI diletak kepada iman, kesucian hati & cinta isterinya kepada Islam & suaminya walau fizikal mereka kurang @ tidak cantik pada mata orang. Mereka tetap bidadari hatinya di syurga kelak. InshaAllah.

Ikhlas dalam amalan...

Ikhlas dalam amalan sangat sukar untuk dilakukan. Apabila keikhlasan wujud dalam diri bererti tiada apa-apa lagi dalam diri melainkan Allah SWT. Ada juga orang yang hilang nilai keikhlasan dalam amalannya kerana kepentingan peribadi. Bagaimana mahu jadikan amalan kita ikhlas pada pandangan Allah SWT?
> betulkan niat > tingkatkan ibadah > sentiasa perbaharui niat
Ingat anak-anak, syaitan tidak mampu menyesatkan orang yang ikhlas dalam amalannya.
Noor Haziq Noor Hazelan

Tuesday, 6 March 2012

Kita selalu mencari kebahagian di tempat yang salah. Sebenarnya kebahagian yang hakiki adalah kedamaian dalam diri kita.
Kedamaian dalam diri akan tercapai andai kita berjaya 'mengeluarkan dunia' daripada hati kita.
Allah maha berkuasa ke atas segalanya....