Tuesday, 26 November 2013

Istiqamah

Nenek.....kak ica nak balik umah adik....jerit cucu ibu, Aisyah. Orangnya comel tapi suaranya nyaring. Ibu terus aje ke arah bilik tidur. Kami bertembung di muka pintu. Ibu dan Aisyah. Dia mendongak tepat memandang wajah ibu.

Mana boleh balik.....abah keje...umi kursus..siapa nak jagĂ  adik nanti?
Ini respon adik Aisyah kepada rungutan kak ica.

Terkasima ibu mendengar jawapan sicilik yang sangat pemalu ini. Bayangkan Aisyah , yang berusia 3 tahun, yang sentiasa akan menangkupkan mukanya atau menutup sepasang matanya dengan jari jemari andainya dia bertemu dengan orang yang dia tidak biasa. Termasuklah nenek A dan atuk M.

Alhamdulillah...ibu mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Ya Allah terima kasih...bisikan hatiku Kau-tunaikan . Benarlah janji-Nya. Aisyah sudah dapat menerima kehadiran ibu dan selesa bersama kami ketika ketiadaan umi dan abah.

Nampaknya cuma kak Ica yang tak betah bersama ibu. Teguran demi teguran menyebabkan ponggong comel kak Ica 'kepanasan'. Walaupun usianya baru lapan tahun tapi ibu kadangkala lemas dengan sikapnya yang leka bermain . Kalau dipanggil untuk solat ada saje jawapan dan alasan untuk melewat-lewatkan panggilan dari langit itu. Sebagai bekas pendidik, ibu terpanggil untuk melentur cucu sulung ibu ni. Ibu setuju dengan saranan seorang penceramah bahawa ibu ayah sepatutnya jangan abaikan mengambil tanggung jawab untuk melihat dan membetulkan adab anak-anak terutamanya ketika cuti macam sekarang. Merekalah yang paling hampir dengan anak-anak.

Memandangkan abah dan umi tiada ketika ini, maka ibu selaku neneknya menggambil tanggung jawab untuk mendidiknya. Bagi ibu, tiada pilih kasih,tiada banding membanding dengan cucu-cucu yang lain. Ibu akui setiap insan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Yang penting ibu mahu cucu-cucu ibu berjaya dunia dan akhirat. Mungkin ibu perlu banyak bersabar dengan kerenahnya.

Ibu akan terus istiqomah dalam menunaikan amanah ini....insyaallah. Ibu  sentiasa berdoa semoga Allah sentiasa memudahkan tugas ibu dan melembutkan hati cucu-cucu ibu....aminnn....

Friday, 1 November 2013

Uncle Muniandy......

Ibu sudah lama berjiran dengan keluarga ni. Masa baru-baru mereka menetap di sebelah rumah ibu, anak lelakinya belum bersekolah tadika lagi. Ibu ni memang dah tersurat agaknya. Tiap kali berpindah mesti berjiran dengan jiran yang berbangsa India ataupun Tionghua.

Tidak menjadi masalah bagi ibu. Ibu pernah bertugas sebagai seorang pendidik. Telah menjadi tugas utama kami untuk menyedarkan pelajar-pelajar kami tentang perpaduan dan muhibbah di kalangan rakyat yang pelbagai kaum. Jadi ibu dapat hidup bertoleransi dengan sesiapa sahaja yang menjadi jiran ibu.

Anak-anak ibu ? .....kadang-kadang ok ......kadang-kadang tak sportinglah.
Mr hubby? Selamba aje.... Ibulah selalu terpaksa bekerja keras menasihatkan mereka kalau mereka keluarkan remark yang  kurang enak didengar.

Jiran ibu memanggil ibu dengan panggilan cikgu. Itulah untung jadi pendidik ni. Dah bersarapun masih dipanggil dengan gelaran tu. Ibu ada rapport yang baik dengan mereka. Kadang-kadang anak lelaki jiran ibu ni suka mendengar radio dengan volume yang kuat. Apabila ibu keluar dan panjangkan leher....cepat-cepat dia angkat tangan tanda faham.

Mereka merupakan keluarga yang bahagia walaupun kekadang apabila berbual sesama mereka macam sedang bertengkar. Alim. Selalu buat upacara sembahyang. Meriahlah suasana ketika itu. Sanak-saudara, adik beradik mereka semua datang. Bau kari ayam dan bau-bauan upacara saling berlumba menusuk lubang hidung........... Alah bisa tegal biasa. Dah lali. Ibu suka melihat keakraban mereka. Nilai kemanusiaan yang sudah hampir pupus semenjak semua orang sibuk berlumba-lumba mencari kesenangan.

Ibu masih ingat satu peristiwa yang menjadi kenangan manis kami sekeluarga. Ketika kami mengadakan majlis walimatulurus Aan, uncle  Muniandy mengadakan majlis 'kesyukuran' untuk anak gadisnya yang baru jadi anak dara....( faham tak? ) . Merekapun menyewa pelamin. Diletakkan selari dengan pelamin Aan.  Malam pernikahan Aan jadi bertambah meriahlah. Mereka minta pengantin bergambar di pelamin mereka. Sebagai tanda menghargai permintaan jiran , Aan turutkan aje. Wah.....lebar senyuman keluarga uncle. Sporting anak-anak ibu......

Bila masa mereka tak sporting dan marah? Tiap kali perayaan Depavali mereka bermain mercun tanpa henti terutama pada waktu tengah malam. Pernah satu ketika anak ibu yang baru dapat baby tak tahan dengan gelagat mereka. Dia telefon polis walaupun ibu bising-bising. Yang bestnya..
anak -anak perempuan ibu tiga beradik ni boleh keluar dan bersemuka dengan uncle.

Macam ni lebih kurang dialog mereka :

Kakak A        : uncle..saya dah telefon polis. Bisinglah ...bunyi mercun. Baby    
                           mau tidurlah. ( nada marah )
Uncle             : (buat muka 10 sen je ) telefonlah..... (  menoleh ke arah
                            anak-anak dan isteri sambil bercakap sesuatu )
Anak-anak ibu masuk ke dalam rumah sambil merungut sesama mereka.
Ibu mengendap melalui tingkap jee. Bersedia kalau-kalau suasana menjadi tegang.
Ok..keadaan terkawal.........

Satu peristiwa lagi yang buat mereka tension. Beberapa hari sebelum Depavali uncle dan anak-anak mengecat bahagian luar rumah mereka. Kami tiada di rumah kerana menghadiri kenduri di rumah adik ibu. Kereta anak ibu ada di luar rumah. Balik dari kenduri, tengok kereta dah ada percikan cat. Aduh......riuh-rendah anak-anak.  Mereka bersemuka lagi dengan uncle and the family...
Sibuklah anak-anak ibu lepas tu saling membantu membersihkan percikan cat itu. Nasib baik bukan cat minyak. Yang kelakarnya......sambil bersih sambil merungut. Dari balik tembok nampak beberapa pasang mata memerhatikan tindak-tanduk mereka.

Anihnya....beberapa hari nanti lepas tu kami semua pasti akan berbalas senyuman.

Kadang-kadang timbul juga rasa belas apabila melihat uncle Muniandy. Dia macam bapa-bapa yang lain juga. Tertekan ada masanya dengan kerenah dan kehendak anak-anak. Mereka berdua rajin bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga.

Tiap kali Depavali tiba, kami trauma... Pagi-pagi dah terdengar suara  aunty memanggil...cikgu....cikgu...
Bertolak-tolaklah  masing-masing  tak sanggup ke depan untuk menyambut dulang aunty yang sarat dengan kari ayam, tosai tinggi menggunung dan muruku. Tak sampai hati nak beritahu yang kami tak boleh makan pemberian mereka .  Akhirnya tahu apa jadi kepada makanan tu semua? Rahsialah.....

Esok...setelah terbit sang suria, akan  berulangkah peristiwa itu? Mungkin sudah sampai masanya untuk ibu menerangkan sesuatu yang berkaitan agama lslam. Masalahnya esok cuma ada ibu dan mr hubby. Siapa nak sambut dulang ni?

Untuk permata hati....Selamat menyambut Maal Hijrah.

Thursday, 31 October 2013

Mata hati#Tafakur#Takdir

Inilah hasil yang ibu peroleh selepas mendengar ceramah ustazah Norhafizah dalam slot Usrati di radio Ikim.......
Seorang ahli saikologis Inggeris menyatakan antara cara untuk menghilangkan rasa keluh kesah atau perasaan cemas adalah dengan cara menyendiri dan menuliskan segala kebimbangan masa depan dan menyenaraikan resolusi yang dapat diambil.  Hasilnya 30 % hingga 40 % keresahan itu akan hilang. Wah.... ini mamat yang bukan beragama Islam membuat kajian. 

Sebenarnya elok sekali sekala kita duduk bertafakur memahami takdir hidup kita. Bayangkan kembali zaman anak2 dulu. Di mana kita bersekolah, bagaimana kita bertemu jodoh dan peristiwa2 yang berlaku sepanjang usia kita hidup. Ketika bertafakur itu kita melihat dengan mata hati memperhalusi dan memahami perjalanan takdir yang Allah dah tentukan untuk kita.

Subhanallah...kita pasti tersenyum andai kita memahami takdir yang Allah dah tentukan untuk kita. Allah yang maha menentukan perjalanan hidup kita. Apabila kita halusi takdir itu sebenarnya memberi impak yang besar dan baik kepada hati dan kehidupan kita. Itupun bagi mereka yang benar2 yakin dengan takdir Allah. Janganlah kita memberi respons yang kurang baik atau kurang adab terhadap takdir yang telah ditentukan oleh Allah swt dengan cara menyesal atau terkilan dengan apa yang berlaku. Malahan tanpa kita sedar,kata2 yang kita tutur seperti kalau aku tahu, andainya atau kalaulah mengambarkan penyesalan kita kepada takdir yang berlaku.

Ketika bertafakur, kita melihat dengan mata hati. Ketika itu mungkin terlintas dalam hati persoalan mengapa nasib masih tidak menyebelahi kita....kita masih menghadapi masalah dengan anak2 atau masih rasa tidak tenang walaupun banyak amalan yang dibaik telah kita tunaikan. Ketika bertafakur dalam suasana yang tenang itu dapatlah kita halusi mungkin amalan yang dilakukan pengisiannya masih belum ampuh dan belum cukup ikhlas. Perlu buat koreksi. Sebenarnya gangguan2 yang hadir dalam proses ubudiah ni sangat baik untuk mengingatkan kita mungkin itu isyarat dari Allah supaya kita buat yang lebih baik kerana di sisi-Nya masih belum cukup baik. Barangkali Allah mahu kita letakkan harapan yang lebih tinggi kepada-Nya. Kita kena fikir adakah kualiti zikir kita atau doa kita itu telah kita hayati sepenuhnya.

Taubat yang sebenar2nya,istiqfar yang berterusan, kebaikan yang benar2 dilakukan dengan ikhlas dan musibah sebagai penyucian dosa2 merupakan terminal yang betul untuk kita masuk ke zon yang lebih baik dan memperoleh keredhaan-Nya . Subhanallah....ada laluan untuk kita perbaiki diri. Betapa Allah maha penyayang dan maha pengasih.

Apabila kita berpeluang merenung kembali kehidupan ini. Bayangkan 57 tahun kita sudah hidup ( itu usia ibulah). Allah kurniakan kasih sayang-Nya dan sentiasa melindungi kita. Betapa lemahnya kita sebagai manusia, kadang kala kita tidak dapat istiqamah tanpa izinNya. Banyak lagi yang tidak dapat kita buat tanpa pertolongan-Nya.

Allah, zat yang maha penyayang sentiasa mendekati kita dengan pelbagai cara. Melalui ujian2 yang diturunkan. Contoh melalui kesakitan . Tapi kita tetap lupa. Kita berusaha memakan pelbagai ubat2an. Kalau sembuh kita lupa nak bersyukur dengan nikmat-Nya. Ubat juga yang dapat nama..... Sebenarnya kalau kita sentiasa bertakwa dan yakin dengan apa yang berlaku ada hikmah yang Allah nak tunjuk atau beri. Di kala itu kita yang terasa lemah dan kerdil ni akan cepat2 mengingati-Nya dan menadah tangan ke hadrat-Nya memohon petunjuk dan hidayah agar dipermydahkan urusan.

Ibu titipkan doa yang baik  dibaca setiap  pagi.........

"Wahai Tuhan yang tetap hidup, yang kekal memerintah selama-lamanya, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perelokkan segala urusanku dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekelip mata."

Monday, 28 October 2013

Rindu......

Pagi ni bangun tanpa tangisan baby Haris. Sunyi sepi keadaan rumah ibu. Baby Haris dan abang Haziq telah pulang ke Melaka bersama2 ibu dan ayah. Aan akan menghabiskan cuti bersalinnya yang masih berbaki sebulan di Melaka.
Sudah biasa dengan kehadiran mereka menyebabkan ibu rasa kekok sedikit. Ibu bercadang menggunakan masa yang ada untuk mengemas rumah. Sekurang-kurang tidak terasa ketiadaan mereka.
Doa ibu mudah-mudahan mereka sihat dan bak2 aje di sana.

Sunday, 13 October 2013

Ikhlas vs. Riak

Hati ibu berbunga gembira . Ketika ibu hendak menunaikan solat isyak semalam tiba -tiba fon ibu berdering. Panggilan daripada seseorang yang ibu kenal. Intipati perbualan kami bukan sekadar bertanya khabar tetapi mahu menyampaikan ucapan penghargaannya kepada ibu kerana telah melakukan sesuatu yang telah mendatangkan kebaikan kepadanya dan juga individu yang paling hampir dengannya. Wah....tika itu tersenyum malu sendirian. Ibu akui ketika itu dalam hati mengucapkan syukur kerana telah memberi kebahagiaan kepada orang lain. Usai aje perbualan itu, ibu menceritakan kepada mr hubby. Macam biasalah, expression mr hubby......cool...  . Inilah kelebihan beliau tetapi kekadang menyakitkan hati.....

Apabila bersendirian terasa hati ini bergoncang. Kerana apa? Dah datanglah penyakit riak tu!!!!! Teringat akan kata-kata Dr Zairuddin.net ; satu kebaikan yang kita lakukan kadangkala akan menimbulkan banyak kemungkaran..
Hanya kita aje yang tahu apa sebenar yang ada dalam hati kita. Kita tak dapat menipu diri kita sendiri. Kita aje yang tahu samada perbuatan yang kita lakukan itu ikhlas atau sebaliknya.

Beristiqfarlah yang mampu ibu lakukan tika itu. Itulah kelemahan hamba-Mu Ya Allah.  Terasa malu kepada diri sendiri. Susahnya nak jaga 'daging yang seketul' ni . Hati ialah tempat jatuh "pandangan" Allah. Justeru itu, untuk meraih kasih sayang Allah kenalah bekerja keras untuk mengurus hati ni .

Pesanan kepada permata hati.....
Perasaan RIAk akan menghapuskan semua amalan baik.
Jom kita teliti soal hati di dunia ni sebelum kita dinilai oleh Allah di sana.

Salam pagi Ahad ♡♡♡♡♡

Saturday, 12 October 2013

Diari ibu

Pagi Sabtu yang dingin..... Itulah gambaran yang dapat ibu berikan tika ini. Bangun seawal 4.30 pagi tadi, ibu dapat rasakan kedinginan pagi hingga ke tulang. Kalau ikutkan hati ingin saje memeluk bantal empuk dan meneruskan tidur tapi beralah kerana  tiba2 malu dengan Allah. Bingkas bangun untuk menunaikan solat sunat.

Alhamdulillah . Setiap kali sebelum melelapkan mata, ibu berharap dapat bangun awal pagi. Bukan mudah untuk menang  dalam 'pertarungan ini'. Kadang-kadang  dah selesai solat sunat sempat juga melelapkan mata sementara menanti waktu subuh. Sukar betul ya nak lakukan kebaikan dan merebut pahala yang Allah nak kurniakan . Nak buat baik ni memang banyak halangan dan ujian. Sebenarnya kita kena kuatkan semangat sebab ujian dan halangan ini sebenarnya merapatkan kita dengan Allah. Kita hanya perlu berdoa dan terus berdoa...

Suasana sepi ...hanya kedengaran suara penyampai ikim.fm dari radio comel ibu. Saat2 ini sangat ibu hargai. Tenang dan dapat berfikir dengan baik......mengingat kembali banyak hal. Sejam dua dari sekarang, momentum ibu akan bertukar.....menguruskan urusan rumahtangga sehingga tengah hari nanti tanpa ada waktu untuk melayan apa aje yang bermain di fikiran.

Teringat pula kepada abang ngah, anak lelaki bujang ibu yang berhajat untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan. Waktu ni , Norman sedang menerima rawatan di hospital swasta keran kecederaan tulang belakang. Dulu dah pernah cedera kerana terjatuh. Degil mamat ni. Kali ni cedera lagi kerana kesilapan sendiri. Dalam kehidupan ni kita tak boleh memperjudikan nasib kita. Anggaplah setiap kesalahan yang pernah kita lalui sebagai pengajaran dan ambil ikhtibar. Sebenarnya pengalaman merupakan sekolah yang terbaik untuk kita. Tetapi ada juga individu yang tak pernah belajar apa-apa. Rugilah orang ni.....

Pesanan ibu untuk permata hati......

Allah menjanjikan pahala bagi setiap ujian yang menimpa orang Mukmin, tetapi orang yang hasad tidak akan mendapat pahala tersebut kerana sifat buruknya itu.
Orang yang hasad dengki juga tidak berpeluang mendapat pahala kerana ruang dan peluang untuk berbuat kebaikan ditutup oleh dirinya sendiri. Hidupnya hanya diselubungi rasa tidak puas hati, marah,kesal,geram dan lain-lain kerana melihat nikmat yang diterima oleh orang lain. ( petikan dari buku Soal Hati oleh Ust Pahrol )


Hidup ini indah andai.......

Allah memberi walaupun kita tak pernah meminta. Ini menunjukkan Allah memberi tanpa perlu menunggu kita minta dan tidak minta dibalas. Allah tak mahu apa2 manfaat drp hambaNya. Kita berhutang kepada Allah paling banyak tetapi Allah tidak menarik balik pemberian itu. Allah memberi berulang-ulang. Proses pernafasan,proses perkumuhan dan jantung kita terus mengepam darah dalam badan kita. Allah terus mengatur alam ini tanpa tidur. Malulah kita sebagai hamba-Nya.

Dalam hidup ini kita perlu meniru hidup orang yang berjaya. Muhammadlah manusia yang paling berjaya. Rasulullah contoh yang terbaik untuk kita. Dalam hidup ini kita kena banyak memberi. Ikut logik manusia apabila memberi akan berkurangan. Bersedekah tidak akan membuat kita papa. Itu sabda rasulullah. Allah gandakan harta kita apabila kita memberi. Ini ketara. Allah juga memberi dalam bentuk tidak ketara. Kita memberi harta, Allah beri kita kesihatan. Insyaallah Allah balas dengan mengurniakan  anak2soleh, isteri lembut dan baik kepada kita.

Jangan mengharap kepada ucapan terima kasih apabila memberi kerana Allah akan membalasnya. Andai menanti jua, alamatnya tidak ramai orang yang akan memberi.

Rumahtangga dibina dengan cinta,kasih sayang, rindu dan tanggung jawab. Apabila suami menunaikan peranannya dan isteri pula menjalankan peranannya maka hak masing2 akan tertunai dan diperoleh. Tetapi dalam realitinya sebaliknya pula . Sang suami menuntut haknya. Sang isteri juga menuntut haknya. Apabila kita asyik memikirkan hak kita , itu pertanda kita kurang berkasih sayang. Love is a verb not a word, itu tangapan orang lelaki.
Sayang tetapi tidak suka menunjuknya. Pesanan kepada sang suami, lontarkanlah sekali sekala kata2 sayang itu seperti suruhan nabi kepada sahabatnya suatu ketika.

Kena tambah ilmu dan kena mujahadah kalau nak jadi baik. Setiap yang rasulullah lakukan merupakan contoh yang baik. Hati pemaaf, pakaian sopan dan banyak lagi perbuatan baik.
Selagi berada dalam dunia kita tetap boleh memberi. Dalam bentuk doa dan material. Jadikan hidup ini bagai melakar pelangi.

Saturday, 5 October 2013

Diari ibu

Baby Haris sudah berusia 32 hari. Bertambah chubby dan cerdik. Bondanya dan ibu sudah faham rutin tidurnya. Malam tadi baby Haris lambat tidur. Ini bermakna kamipun lewatlah tidur.

Sambil berbual -bual kami menonton tv Al Hijrah. Ada siaran langsung dari  Masjidil Haram Makkah. Ketika itu waktu Isya di sana. Tiba-tiba rasa rindu menerjah ke jiwa ibu. Agaknya macam tulah perasaan nenek dan mak kita yang pernah ke sana. Masa remaja dahulu, ibu bosan kadang-kadang apabila mendengar arwah nenek dan arwah mak asyik bercerita tentang pengalaman mereka di sana. Kini ibu mengalami situasi yang sama. Walaupun sudah tiga kali berpeluang  menjejakkan kaki ke sana namun rasa rindu untuk ke sana lagi meruntun jiwa ibu. Mudah-mudahan ibu diberi peluang untuk ke sana lagi, inshaallah.

Ketika baby Haris lena dalam dakapan ibu, jam sudah 1 pagi.  Mata ibu tak mahu lelap. Macam-macam yang bermain dalam minda ibu. Biasalah title 'ibu' menjadikan kita individu yang bersemangat kental walaupun fizikal sudah mula menurun prestasinya.

Ibu teringat bait-bait ayat dari Ust Pahrol. Menurut beliau........
Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh.
Hati emas ialah hati yang mengenal Allah dan jatuh cinta kepada-Nya. Hati itu dicipta oleh Allah dengan kemampuan "melihat" dan merasa sesuatu yang sangat seni dan maknawi sifatnya. ♥♥♥♥♥
Pandangan mata hati yang dapat menjangkau kebesaran Allah dan ' daerah-daerah' rohani yang tinggi. Seperti firman-Nya :
Ertinya : " Sesungguhnya bukan mata yang buta, tetai yang buta ialah hati yang ada dalam dada. "
                                            ( Surah al- Hajj 22:46 )

Sebenarnya ibu ni menonton siaran agama dari tv  Al H5ijrah sambil menaip entri blog ibu ni. Tak mahu rugi . Mahu berada di salah satu 'taman2 syurga ' -majlis ilmu.........
Mudah-mudahan ada ilmu yang dapat ibu manfaatkan.

Selamat berhujung minggu untuk permata hati

Sunday, 29 September 2013

Setitis Ilmu .....

Hari ni sempat membaca beberapa helai daripada buku Perbaharuilah Solat Anda. Nak share info yang ibu peroleh dengan permata hati. Ibu baca tentang azan. Azan ni mempunyai fungsi sebagai pemberitahu masukknya waktu solat dan menunjukkan syiar Islam .

Allah telah mensyariatkan kata2 berbentuk syair ini melalui mimpi dari beberapa orang sahabat, iaitu Abdullah bin Zaid dan Umar bin Al-Khattab. Allah ilhamkan agar azan berbeza dari syiar ajaran lain . Terompetatau sangkakala digunakan oleh kaum Yahudi dan loceng digunakan oleh orang-orang Nasrani.

Syaitan takut mendengar azan. Mereka lari tunggang langgang apabila mendengar azan. Lari terkentut2 supaya tidak mendengar seruan azan.

Oklah....sudah larut malam ni. Ibu sudah letih dan mengantuk. Selamat malam.......

Wednesday, 25 September 2013

Diari ibu

Baru aje lepas solat asar. Sudah 3 hari berada di rumah Aan di Melaka. Macam biasa, bawa cucu2 bertemu dengan ayah mereka. Di samping itu memberi peluang kepada Aan bertukar angin. Aan baru 22 hari berpantang. Ibu tahu situasi dia. Bosan... Lagipun dia mahu mengambil bahan2 bacaan berkaitan tugasnya. Selepas bercuti panjang dia akan memulakan tugasnya pada Disember ni.

Baby Haris tidur. Dalam usia macam dia, tidurnya melebihi 20 jam. Alhamdulillah setakat ini baby tu sihat. Jadi tak banyak ragamnya. Menangis kalau mahu menyusu aje. Macam ibu ceritakan dalam entri yang lalu, bondanya busy mengepam susu dan nenek A terpaksa alert selalu menyediakan makanan dan minuman untuk nursing mom ni. Ini nak pastikan bekalan susu bondanya banyak. Besar pahalanya menyusukan baby ni. Ibu bangga dengan Aan kerana mengambil tanggung jawab ini walaupun tugas ini menuntut komitmen yang tinggi. Yoolah......terpaksa berjaga pada waktu malam tanpa mengira masa. Heheheee.....ibu tumpang sekaki nampaknya.

Di kala sedih atau gembira ibu selalu menulis di sini. Semenjak bertugas dulu lagi andai ada yang terbuku di hati atau bersarang dalam minda, ibu suka menulis di atas kertas. Kadang2 tu apabila dibaca semula taklah berat mana isu ynag menghantui fikiran. Selalunya selepas baca ibu decide tindakan yang perlu diambil atau kalau tak perlu, ibu buang aje catatan tu. Clear mind dan selesai masalah. Senangkan??....
Sebenarnya ada banyak hal yang bersarang dalam minda ibu ni. Biasalah apabila dah menginjak ke usia senja ni perasaan emo cepat aje menerjah. Tambahan pula wanita.. Walau sekeras manapun hati tapi jiwa halus seorang wanita tak dapat dinafikan. Permata hati mengenali ibu sebagai seorang yang suka berjenaka dan kuat berleter. Kalau sedang marah semua tak berani tegur. Ada kalanya ibu emo juga tapi tak pernahlah tunjuk depan mereka dan mr hubby.

Saat2 yang paling menggembirakan ibu adalah ketika memandikan baby Haris. Macam terapi jiwa pula. Cuci mukanya perlahan2, syampu rambutnya sambil bercakap2 dengannya. Baby ni senyap aje macam faham apa yang ibu cakapkan. Lepas tu pakaikan bajunya. Ibu sentiasa hati2 memilih pakaiannya. Nak pastikan bajunya, mittennya dan bootiesnya sepadan warnanya. Ngapalah nak heboh2 pasal tu ya.....sebab lepas tu baby dibedung dengan napkin putih juga. Cikgu SRTlah!!!!!!

Oklah..dah petangni.  Masa untuk  mandikan baby Haris. Lepas tu nak mandikan abang Haziq pula. Jumpa lagi...

Sunday, 22 September 2013

Diari ibu

Selamat pagi... Ketika ini sedang menonton siaran ilmu 'Tanyalah Ustaz'. Bored dengan cara penyampaian ustaz ni. Ustaz ni macam new comer jee. Isi best...Sabar dalam Bersabar....tapi ibu tetap rasa bosan. Jadi channel sentiasa bertukar nampaknya.

Baby Haris sudah tidur kembali. Selepas disalinkan pampersnya, ibu kembalikan Haris kepada bondanya. Breakfast belum disediakan tapi dah ada dalam mind ni nak buat apa.

Ibu nak teruskan membaca buku yang dah hampir sebulan ibu baca tapi tak habis2 juga. Dah berkali2 10 helaian pertama ibu baca. Ibu sukalah ayat2 yang terdapat dalam buku ni. Judul buku ni ...Semuanya Soal Hati oleh Pahrol Mohamad Juoi. Secara ringkas buku ni meperkatakan tentang peranan hati dalam kehidupan orang mukmin. Apa yang patut dituai dan disemai dalam hati. Apa yang pula racun atau sifat-sifat mazmumah yang akan mengotori dan mematikan hati.

Oklah nak ke dapur untuk memulakan rutin ibu.. Ibu tinggalkan catatan ni dengan pesanan ,
Hati ialah tempat jatuh "pandangan" Allah.
Allah berfirman yang bermaksud; 'Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang palingbertakwa antara kamu.'
( surah al-Hujurat 49:13 )
Selamat berhari minggu...

Saturday, 21 September 2013

Diari ibu

Alhamdulillah....ada ruang dan peluang untuk menulis lagi di blog ibu. Tulisan ni sekadar luahan rasa agar tidak terbuku dalam hati. Bukan untuk diceriterakan kepada umum. Cuma kadang-kadang desakan permata hati agar dishare untuk tatapan mereka. Justeru ibu ikutkan aje.

Sejak beberapa hari ni banyak hal yang berlaku dalam hidup ibu. Biasakan.....kalau monotanous aje tentu tak thrill pula life ni. Alasan kot nak sedapkan hati.

Kita cerita tentang baby Haris dulu. Baby Haris dah 17 hari usianya. Dah berisi sikit. Alhamdulillah.....tak banyak kerenah. Kuat menyusu... Tiap kali ibu menjenguk ke kamar tidur, tiada lain senarionya.....samada baby Haris sedang menyusu atau bondanya sedang mengepam susu. Heheee...fresh dari kilang!!!! Jadi bahan gurauan ibu dan anak-anak.

Setiap pagi rutin ibu bermula selepas subuh . Cuma sekarang kena buat kerja pantas2.  Penat juga. Maklumlah usia semakin meningkat ........ Masa baru2 dapat cucu hari tu,  macam menyertai explore race...... Sekarang dah ok sebab baby Haris dah dapat adapt dengan 'dunia' barunya dan bondanya sudah bertambah sihat. Lega ibu.

Cucu ibu Haziq sudah bertambah matang. Dah ada hobby baru......suka membaca. Tetapi awas!!!! Kalau ada peluang, dia usik baby Haris juga. Ditekan perut baby atau dicubit tangan comel baby tu. Waktu mandi baby merupakan waktu yang paling riuh. Haziq sentiasa ' mengganggu'.

Mengantuklah.....berhenti dahulu....

Sunday, 8 September 2013

Diari Orang Baru

Malam ini merupakan malam ke 4 'orang baru' bersama ibu dan ahli keluarga yang lain. Noor Haris nama diberi oleh ayah budiman. Simple aje namanya tapi ibu yakin besar maksud kepada ayah dan bondanya.

Diari baby Haris sepanjang hari Sabtu 7 September nyata sibuk. Ini bermakna kami turut sibuk....hehehe.... Tamu silih berganti datang menjenguk orang baru ni..

Kebetulan jiran ibu buat kenduri kahwin anaknya. Jadi ramai tetamu beliau merupakan teman ibu. Tak menang tangan ibu.. mana nak melayan tetamu yang bertandang,  rutin harian dan tugas 'baru' ibu. Alhamdulillah team work ayah,abang Haziq, maktin dan atuk semua dapat disempurnakan.

Hari ni baby Haris tiba-tiba tak mahu menghisap susu bondanya. Dah petang baru kami perasan . Apa lagi merengengeklah dia . Laparlah tu........ Sangkaan ibu untuk tidur lena malam ni meleset. Tangisan baby Haris yang ibu tinggalkan dengan bondanya semakin kuat. Rasa kesian menyelinap di jiwa siapa yang mendengarnya. Ibu bingkas bangun terus ke kamar tidurnya. Ibu kendong dengan penuh kasih sambil bicara lembut. Ibu bawa ke ruang tamu. Alunan zikirullah antara dengar dan tidak membuatkan baby Haziq lena dalam dakapan ibu. Sejak dah jadi 'nenek A' kepada 6 orang cucu, ibu sudah lebih tenang dan relax menghadapi kerenah 'orang baru' ni.
Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmatinya dan memudahkan tugas ibu.

Apabila diletakkan di tempat tidurnya, merengek lagi. Wah....nampaknya kami jadi burung hantu lagi malam ni... Ibu sarankan bondanya pam aje susunya untuk disudukan kepada baby. Lambat proses ni. Ibu tuangkan ke dalam botol susu yang memang dah stand by aje. Syukur dia hisap. Hati-hati ibu membantunya menghisap susu tersebut. Lepas tu ibu dapat idea.....cepat-cepat switch supaya baby Haris menghisap susu direct daripada bondanya. Baby Haris terus menghisap sampai terlena.. Alhamdulillah. Ibu tak mahu cucu ibu ni confused. Lagipun susu ibu ini memang Allah dah programkan sebaik-baik habis untuk baby. Insyaallah tak tersedak dan tak ada colic....

Nampaknya baby Haris suka buat eksperimen pada waktu malam...Dah pukul 2.15 pagi apabila ibu 'merangkak' ke katil ibu. Ibu dan bondanya tidak  merungut malah berasa lega baby sudah dapat lena dengan perut berisi.

Kita tunggu diari orang baru ni esok. Seronok nak tahu perkembangan baby Haris. 'Selamat malam' walaupun jam di dinding menunjukkan pukul 2.48 pagi...

Friday, 23 August 2013

Luahan hati pagi Jumaat






Salam pagi Jumaat.....entah kenapa pagi ni tiba-tiba teringat kepada blog ibu ni. Sudah lama tidak menulis.
Pagi ni ibu meneruskan puasa enam yang sudah masuk hari ke 5. Insyaallah mudah-mudahan dapat diteruskan sehingga akhirnya.
Jom kita share sesuatu yang bermanfaat pagi ni.....
Silaturahim adalah kemesraan. 'Saya menyayangimu kerana Allah.'.....pernah tak kita ungkapkan kata-kata ni ? Kita disarankan agar menghidupkan silaturahim seperti yang dikehendaki oleh Rasulullah. Menghubungkan silaturahim adalah ibadat bukan adat. Allah akan beri pahala insyaallah. Beri salam dan beri senyuman merupakan cara menghubungkan silaturahim. Pahala bagi mereka yang melakukannya.

 Kegembiraan dan rasa untuk berkasih sayang mesti wujud tatkala kita mahu menghidupkan silaturahim. Kata nabi Muhammad ......jadilah 'Al Wasil' ( maaf tak pasti dengan ejaan)'...orang yang mengwujudkan silaturahim walaupun dibenci,tidak disukai dan diputuskan hubungan silaturahim dengannya. Orang itu perlu sentiasa berdoa dan membaca Al Quran dan terus bersabar menghadapi kerenah demi mendapat ganjaran di sisi Allah.




Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang mahu bertaubat. Walaupun kesalahan terhadap manusia tetapi kita perlu istighfar dan bertaubat kepada Allah dahulu. Mudah-mudahan Allah buka ruang dan permudahkan laluan untuk kita menyambung kembali silaturahim dengan individu yang bermusuhan dengan kita.

Pesan nabi Muhammad, ketika kamu sedang marah, kunci mulutmu. Tujuannya agar kita dapat mengawal kata-kata yang akan keluar daripada mulut kita.

Kita perlu bermuhasabbah dahulu , melihat balik mengapa silaturahim itu terputus. Mungkin kita perlu berubah dahulu baharu kita dapat menghidupkan kembali silaturahim.

Ingatlah sesungguhnya silaturahim itu suatu ibadah. Dalam satu hadis yang maksudnya....barang siapa yang mahu melapangkan rezekinya dan memanjangkan usianya , maka hubungkan silaturahim.

Mudah-mudahan ilmu ini dapat dikongsi bersama permata hati..


Sunday, 21 July 2013

Diari ibu

Ramadhan datang lagi.. Malam ini malam yang ke 12. Alhamdulillah ibu bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menunaikan rukun Islam yang telah menjadi kewajipan umat-Nya. Biasalah apabila usia meningkat, perasaan dan fahaman turut berbeza. Alhamdulillah zaman jahiliah ibu tinggalkan. Tidak drastik tetapi berhemah. Kini tika meniti usia senja, ibu berhasrat merebut peluang yang Allah berikan sebaik mungkin.

Semakin ibu cuba mengejar barakah bulan penuh pengampunan ni
Semakin jauh ibu ditinggalkan. Anih bukan? Ibu jadi sibuk dengan hal-hal yang tak dapat ibu tolak begitu sahaja. Komitmen ibu terhadap abah ibu yang tinggal sendirian semakin berat pada bulan Ramadhan ni.... Hidangan berbukanya dan sahurnya menjadi tanggung jawab ibu. Sekali sekala adik ibu, cikgu Sapiah turut membantu tetapi beliau tak dapat memberikan komitmen sepenuh masa lantaran tugasnya di sekolah sebagai Penolong Kanan HEM.

Kalau nak ikutkan, ibu hanya bertiga saje di rumah. Jadi hidangan berbuka boleh ala kadar saje. Mungkin lebih sedikitlah memandangkan bulan puasa ni. Nak raikan selera hubby dan anak ibu , tidaklah susah untuk ibu. Abah ibu agak cerewet tentang makanan. Ibu tahu. Sebaik mungkin ibu mahu beliau gembira dan berselera apabila berbuka. Maklumlah makan seorang diri..... Ibu tahu abah tak mahu menyusahkan anak-anaknya. Ibu dah berjanji dengan diri ibu bahawa ibu akan menguruskan abah sebaik mungkin dengan izin hubby. Dulu masa arwah mak masih ada, kami tak dapat menjaganya dengan baik. Biasalah.....anak ramai tapi tak dapat menguruskan ibu nan seorang. Maklumlah panggilan tugas dan urusan famili sendiri. Jadi kali ini ibu tak mahu buat kesilapan lagi.walaupun terpaksa terkejar-kejar dengan urusan rumah tangga, memasak dan berulang alik ke rumah abah menghantar makanan. Kadangkala ketika berbuka tak dapat nak merasa kelazatan hidangan kerana melayan rasa letih dan penat . Itu semua tidak menjadi  masalah memandangkan ibu ni cukup sekadar buah tamar dan segelas minuman tika berbuka.

Oklah dah larut malam ni....nak tidurlah. Esok nak bangun untuk bersahur. Nanti ibu sambung lagi. Tak habis lagi ni suara hati ibu. Selamat malam...


Tuesday, 25 June 2013

Diari ibu


Hari ni 15 Syaban. Ibu berpuasa sunat. Alhamdulillah dapat juga habiskan memandangkan dari tengah hari sehinggalah hampir waktu berbuka, ibu sakit kepala . Apa lagi....tidurlah seharian. Masa sakit kepala, ibu tak boleh bercermin mata. Nanti tambah sakit. Kesian cucu ibu. Bermainlah dia sendirian. Untuk elakkan dia rasa bosan, ibu sengaja baring di tempat dia bermain. Dia anak yang baik. Sedikitpun tidak banyak kerenah. Agaknya dia tahu neneknya tak sihat. Dia akan meminta ibu buatkan susu atau air ribena kalau bekalannya sudah habis.

Masa berbuka tadi, ibu cuma makan sebiji epal, 3 biji buah kurma, segelas ribena dan secawan teh. Ibu suka buah kurma. Memang sentiasa ada stok dalam fridge. Tak lalu nak makan nasilah malam ni..

Petang tadi adik ipar ibu fon beritahu anaknya, kak long Nabilah terpaksa dibedah memandangkan sudah 4 hari di wad tapi masih belum melahirkan babynya. Kesiannya. Ibu dapat gambarkan situasi dia. Tak apalah. Kita kena redha dengan rencana Allah ni. Dia
yang maha mengetahui. Usahlah kita pertikaikan. Alhamdulillah..... Bayi lelaki Siti Nabilah selamat dilahirkan pukul lima petang tadi. Sayang ibu tak dapat ke hospital memandang sakit kepala ibu masih mengganggu ibu. Hubby ibu suruh ibu pergi tapi nak buat macam mana...... Esoklah nampaknya.

Dah dua hari ibu tak dapat ziarah abah. Ini yang ibu terkilan. Sedih hingga di saat ibu menaip diari ni, adik-adik lain mungkin tak rasa macam mana ibu rasa. Memandangkan ibu yang paling kerap menziarah abah, ibu macam dah dapat menyelami jiwa abah. Apalah yang dia makan hari ni ?  Setiap kali teringat akan beliau, air mata ni mudah sangat mengalir. Dia nampak dah uzur sangat. Ibu masih berharap agar ada insan yang sanggup menjadi teman hidupnya. Kalau bincang dengan adik-adik lain mesti ibu kena bombard ni. Pernah berbincang dengan hubby. Dia sarankan ibu carikan jodoh untuk abah tapi ibu tak mahu. Biarlah abah cari sendiri. Ibu sentiasa doakan semoga ada insan yang sudi menjaga abah.

Oklah nak tidurlah...ngantuk pula. Selamat malam...

Thursday, 20 June 2013

Diari ibu

Orang lelaki selalu kata wanita ni complicated. Apa yang complicated tu? Bagi ibu tiada apa yang susah sangat tentang wanita ni. Mungkin yang bercakap tu lupa bahawa wanita tu adalah makhluk yang Allah jadikan sama macam mereka ,lelaki..... Mereka juga lupa apabila mereka mula mempertikaikan sifat wanita bermakna mereka juga cuba mempertikaikan kejadian Allah.

Yang ibu tahu, Allah jadikan wanita agar menjadi pasangan kepada kaum lelaki secara sah dan halal supaya dapat menambah umat-Nya. Tugas utama kita ni di muka bumi milik-nya adalah sebagai hamba-Nya, sebagai khalifah atau pemimpin dan untuk mengimarakkan dunia yang terbentang luas ini. Sebagai hamba-Nya kita wajib taat dan taqwa kepada-Nya. Sebagai pemimpin kita melaksanakan amanah berdasarkan hukum yang telah termaktub dalam Al Quran. Kita juga wajib memelihara dan memulihara alam sekitar kurniaan Allah ini. Tugas yang sama-sama mesti dipikul oleh wanita dan juga kaum lelaki. Yang membezakannya adalah kedudukan lelaki itu di tempat yang Allah dah tetapkan. Pada masa yang sama, wanita juga merupakan insan yang sangat dimuliakan di sisi kaum Adam.

Cubalah kita bayangkan andai Allah jadikan wanita mempunyai sifat-sifat yang sama seperti dimiliki kaum lelaki... Aduh pak....mana mungkin itu? Rumahtangga berantakan jadinya. Allah itu Maha Mengetahui.. Sifat keibuan yang lemah lembut tatkala membelai bayi memang semula jadi. Tidak dapat dibuat-buat... Sifat lembut, manja dan mahu dikasihi dan banyak lagilah sifat-sifat lain yang ada dalam diri wanita ni. Berlawananlah dengan sifat-sifat yang dimilki kaum lelaki. Sebab itulah kaum lelaki ni sesuai bebeno menjadi pelindung kepada kaum wanita.

Ibu tertarik denga kata-kata Prof. Dr. Nor Mohammad. Beliau highlight kata-kata berikut; pengaruh minda suami tetapi tahluki hati isteri. Wanita ni diketahui mempunyai 1 akal dan 9 nafsu manakala lelaki vice versa. Justeru itu apabila kita nak berinteraksi dengan pasangan kita kena ingatlah teori ni.
Itu sebab orang lelaki tak suka dengar bebelan atau leteran.
Contoh 1. : Abang, ngapa biarkan tuala ni bersepah-sepah atas katil? saya penatlah.....blah...blah...
Contoh 2. : Abang, tuala yang lembab mesti disidai supaya tak bertahi lalat atau bau kepam....
Berbeza dengan wanita ni, hati mereka cepat 'cair' kalau kena gayanya.

Oklah dah nak lelaplah. Nanti ibu sambung lagi..... Selamat malam .

Sunday, 16 June 2013

Diari ibu

Petang tadi, macam biasa ibu ke rumah abah. Sudah empat hari ibu tidak menjenguk abah. Ibu ke rumah Aan di Melaka sejak hari Rabu. Petang Jumaat ibu pulang ke rumah bersama Aan.
Ketika ibu sampai,abah sedang terbongkok-bongkok membersihkan halaman rumah. Di samping beliau ada mesin rumput yang agak comel dan di tangannya ada sebilah parang. Ibu turun dari kereta dan terus menolak pagar besi yang berat tu..... Abah ibu ni ada masalah pendengaran. Beliau langsung tak dengar bunyi kereta dan bunyi pagar yang berkriuk agak nyaring tu.... Bahaya juga ya....

Ibu cepat-cepat turun dari kereta sambil menjinjing plastik berisi nasi dan lauk untuk abah. Zoom....lari sepantas kilat ( kilatlah sangat....nak bawa badan ni bukannya ringan ) ke dapur dan terus ke halaman rumah semula. Ambil mesin rumput dan menyambung kerja abah. Wah...lebar senyum abah. Happy tidak terkira apabila melihat senyumannya. Dalam hati sedih.....

 Enjoy pula menolak mesin rumput tu. Nampak comel, beratnya boleh tahan juga.. Dah hampir 57 tahun usia ibu. Itulah kali pertama ibu menolak mesin rumput. Ibu mesin rumput sambil diikuti abah di belakang, mengomel supaya ibu berhati2 takut terkena serpihan batu. Bayangkan dengan pakaian baju kurung ibu terus memesin rumput di sebahagian besar halaman di luar pagar rumah abah. Orang yang lalu-lalang asyik memandang gelagat ibu. Ibu abaikan ajee. Apabila tengok dah ok....ibu berhenti memesin rumput dan biarkan abah sambung pula. Tengok pula pokok-pokok bunga dalam pasu.. Hai.....sejak takde suri ni,pokok-pokok bungapun tak terbela. Ibu cuba bersihkan rumput-rumput yang menjalar dalam pasu-pasu tu. Susun balik pasu-pasu tu di tempat yang sesuai. Barulah nampak bersih dan kemas.. Puas hati ibu.

Tekak mula rasa dahaga. Kalau ibu dahaga, abahpun dahaga tu..bisik hati ibu. Berlari menuju ke dapur sambil menjerit memanggil nama cucu ibu,Haziq yang sibuk explore di kawasan belakang rumah.. Dah macam Tarzanlah pula. Emak-emak ni memang hebat jika dibandingkan dengan bapa-bapa. Mereka dapat buat multi tasks dalam satu masa. Tapi siaplah....semua anggota yang Allah kurniakan berfungsi. Sambil menanti air mendidih....(kat umah abah ni takde minuman sejuk) ibu bersihkan meja makan dan hidangkan makan malamnya. Abah ibu cerewet juga dalam bab makan ni..
Lauk-lauk air macam asam rebus atau masak singgang bukan pilihannya. Kari atau masak lomak cili api barulah favouritenya. Dah siap teh panas untuk ibu, Aan dan abah ibu.... Ibu hidangkan minuman abah dengan kek pisang yang ibu bawa tadi. Lepas tu bersihkan dapur abah.

Dari masjid berhampiran terdengar azan berkumandang... Ibu perlu segera pulang. Air teh yang masih panas tadi, ibu tuang dalam pinggan bukan piring ya...nak sejukkan. Ibu segera hirup. Cepat-cepat keluar cari abah nak beritahu ibu sudah mahu pulang. Masa tu jugalah abah melambai ibu sambil menunjukkan sebatang pokok. Sambil memberi isyarat kepada Aan , ibu berlari ke arah abah. Alahai......nak tunjukkan gugusan buah duku yang masih berputik dengan lebat. Nak ambil hati abah, ibu layan jugalah. Sebelum beredar ibu berulang kali memberitahu abah azan Maghrib sudah berkumadang. Ibu terus berlari ke arah kereta Aan. Sepanjang jalan pulang, ibu bermandi peluh. Dalam hati...gembiranya dapat menemani abah tadi.

Esok petang sudah berkira-kira untuk ke rumah abah lagi...insyaallah.

Thursday, 6 June 2013

Diari ibu

Hari ini 27 Rejab . Isra' dan Mikraj.....Penuh dengan sejarah yang sepatutnya semua umat Muhammad tahu dan peka. Ibu berpuasa sunat hari ni. Dah lama rasanya tidak berpuasa sunat. Mr hubby tak begitu sihat untuk menunaikan puasa sunat. Pagi tadi ibu bangun awal untuk bersahur dan alhamdulillah berpeluang menunaikan solat sunat. Nampak mr hubby sedang mengaji. Beliau selalu awal bersolat tahajjud. Ibu suka pada hujung waktu. Terus aje solat fajar dan solat subuh. Dah tua2 macam ni tiada lagi yang lebih mengembirakan selain berasa sihat untuk menunaikan tanggungjawab kepada Ilahi. Dulu selalu sukar nak bangun tetapi alhamdulillah kini tidak lagi. Ibu selalu teringat pesan Prof Muahaya. Sebelum memejamkan mata niatkan sesuatu yang kita hajatkan. Insyaallah minda segar kita akan membantu  kita untuk memperolehnya. Pesan beliau lagi andai terkejut waktu tidur tu, tanda malaikat mengejutkan kita. Yang kelakarnya, kalau dulu terbangun untuk ke tandas tetapi kini tidak lagi. Alhamdulillah ya Allah.......kesedaran yang tidak ternilai Kau berikan.

Alamak......dah melalut panjang lebar. Sebenanrnya ibu sedang menggosok pakaian ni. Semenjak cucu dah pandai gunakan tab ibu ni, ibu dah takde chance nak update blog ibu. Lagipun ibu dahjadi pemalas juga...Waktu ni cucu ibu bermotosikal bersama atuknya. Oklah dah luahkan apa yang ada dalam hati. Kesiankan.....macam nilah kalau takde teman nak berbual.....

Monday, 13 May 2013

Semalam sambutan Hari Ibu. Tiada ucapan daripada anak-anak atau mr hubby. Di fbpun tak banyak ucapan sempena hari ibu. Mungkin ini ada kaitan dengan teguran dari ustaz-ustaz kot. Sebenarnya ibu tak hairanpun. Setiap hari ibu dihargai,disayangi dan dihormati. Tugas ibu tidak pernah ada nokhtahnya.

Semalam sama seperti  hari-hari yang lain. Sibuk dari pagi sehinggalah ke malam. Biasalah tugas rumah tangga yang tiada akhirnya. Apa-apapun sebenarnya terpulang kepada kita untuk menentukan corak rumah tangga kita. Ibu ni orang yang tak boleh duduk diam. Ada aje yang nak dibuat. Apabila penat berleter sekejap. Apabila dah rasa lega sambung balik kerja. Anak-anak dan mr hubby dah lali. Kadang-kadang geli hati apabila tengok hubby cuba nak bantu dengan kerja-kerja rumah. Konon-konon nak ambil hati. Khikhikhi....tak sempurna macam ibu buat. Itupun kalau ibu dah mula nak tunjuk muncung ataupun radio buruk dah mula bersuara.

Semalam ibu ke rumah jiran berhampiran. Emak mentuanya telah dijemput kembali menemui Allah azawajalla. Ibu sampai ketika jenazah hendak dimandikan. Ibu bersimpuh di suatu sudut sambil memerhatikan aje. Kesedihan tiba-tiba menyelinap di lubuk jiwa. Teringat akan arwah mak yang telah empat tahun meninggalkan kami. Ibu tatap wajah jenazah yang kaku tetapi tenang. Esok lusa...entah bila giliran ibu pula mungkin.... Doa dalam hati ibu semoga dipermudahkan perjalanan pulang ibu nanti. Tiada apa yang ibu pinta melainkan doa daripada permata hati..insyaallah.

Sebelah malam ibu menonton drama yang ada kena mengena dengan ibu. Menarik kerana ada kaitan dengan realiti kehidupan ibu-ibu. Ibu jarang menonton tv tapi malam tadi letih jadi lepak atas sofa aje. Menonton bersama mr hubby. Yang seronoknya sambil menonton sambil buat ulasan. Biasalah kami berdua memang suka berbual.. Sedang asyik menonton terima sms daripada teman baik. Beliau mengucapkan selamat hari ibu. Gembira juga. Norsha yang ibu kenal sejak hari pertama bertugas di sekolah menengah Bukit Saujana pada awal tahun 1992. Persahabatan kami bertahan sehingga kini kerana kami ada banyak persamaan dan citarasa yang sama. Yang seronoknya giler-giler sama tak pernah luput walaupun dah bergelar nenek. Beliau masih berkhidmat sebagai HEM di Melaka.

Oklah terpaksa berhenti menulis sekarang. Nak ke dapur menyediakan sarapan untuk anak bongsu ibu yang akan bekerja sekejap lagi. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam. Insyaallah.....

Thursday, 2 May 2013

Diari ibu

Selamat pagi. Pagi ni ibu masih berada di rumah Aan di Bukit Beruang. Baru lepas solat Isyrak. Sunyi aje. Cucu kesayangan masih tidur. Ibu ambil peluang untuk meninjau-ninjau fb. Banyak berita. Macam biasalah tak semua yang ibu baca. Glance sekali memadai. Menjelang PRU 13 pada 5 MEI banyaklah fitnah dan tohmahan. Kita yang perlu bijak menapis berita yang dibaca. Takut2 kita terheret sama ke kawah neraka.....hi..takutlah.

Lama betul tak update blog ni. Hari tu alasan cucu suka ambil tab ibu. Anak bongsu ibu dah beri iPad Apple dia kat ibu. Ibu terlupa password ibu untuk blog. Biasalah... Aan kata tak boleh nak tolong tapi ibu percaya ada caranya. Alhamdulillah ibu dah berjaya buka balik blog ibu..yeh!!!!! Siap ko Aan .....
Bukan susahpun. Perlu kesabaran dan usaha sedikit. Malam tadi masa cucu ibu sibuk-sibuk dalam bilik ibunya, ibu beroperasilah. Tak sia-sia usaha ibu.

Oklah...nak ke dapur prepare breakfast. Dah ada menu dalam otak ni. Sebenarnya ibu dan cucu ibu tak beratkan sangat breakfast ni. Yang ringan-ringan sudah. Tapi apabila teringatkan anak ibu, Aan yang hamil tu, ibu buatlah breakfast yang best sikit. Biasalah....mak mana tak sayang akan anak-anak yang telah dilahirkan dari rahimnya. La....nak emo pula....

Mudah-mudahan anak-anak ibu akan sentiasa sihat dan dipelihara iman mereka .......amin..amin...



Saturday, 20 April 2013

Lalai atau perasan ?

Selepas solat sunat isyrak, cepat-cepat jari ibu mencapai radio karat ibu. Kedengaran suara penceramah dari radio ikim fm. Siapa dia tak penting tika itu tapi ayat-ayat akhirnya mencengkam kalbu. Walaupun ibu hanya sempat mendengar baris-baris ayat akhirnya tapi tersentak sekejap.
Orang yang berfikir bahawa dia telah berjaya menjaga diri atau membelai diri dengan baik sebenarnya dia lalai dari Allah. Issyyyy......bait ayat tu macam terkena kat diri sendiri pula. Sejak bersara dan mempunyai banyak masa selain mengurus rumahtangga, ibu jadi rajin mengurus diri. Rambut yang dulu keras dah lembut ok !!!! Mana tidaknya selain disyampu, dirawat dengan perapi dan serum. Sudah tentu lembut dan rapi jadinya. Scrub badan tak pernah miss walaupun sibuk macam mana. Kaki yang berkarat dah jadi lembut dan bersih beb!!!. Suplemen diambil secara konsisten. Ada perubahan pada kulit. Memanglah bersyukur tetapi apabila dah dengar ceramah Habib tadi, alahai..terkedu sekejap. Rupanya tak cukup setakat bersyukur dengan nikmat yang diberi-Nya. Bagai dikejutkan dari tidur yang lena.... Ibu yakin dan tawadduk dengan izin-Nya maka ibu diberi kekuatan dan kelapangan untuk memelihara dan menghargai nikmat yang dikurniakan. Ok lepas ni jangan kerap sangat belek-belek rambut atau jari jemari tu .... Bukan apa takut jadi riak pula. Hehehe.....
Syukran Pak Habib dan radio kesayangan ibu... Ibu dapat memulakan hari ini dengan lebih taqwa kepada Mu pemilik alam ini. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, insan mulia di sisi Allah.
Hari ni merupakan hari penamaan calon bagi PRU 13 . Mr hubby sedang bersiap-siap untuk menyibukkan diri di pejabat daerah PD yang menjadi lokasi untuk proses penamaan calon di PD. Ok nak sediakan sarapan untuk hubby tersayang.
Selamat berhujung minggu kepada permata hati..♥♥♥♥♥

Sunday, 31 March 2013

Diari ibu

Aslamualaikum dan selamat pagi.. Ibu baru pulang dari Gerik rumah anak sulung ibu . Kali terakhir ke sana last Jun. Kali ni tergerak nak pergi apabila kak long call kata kak eca demam. Mula-mula hati batu ni tak tercuitpun dengan cerita kak long tu tapi malam tu sebelum tidoq teringat pula kat mereka. Kesian cucu ibu. Cuti sekolah dan uminya sibuk tak dapat bercuti.

Pagi-pagi esoknya ,cepat-cepat suarakan kepada mr hubby tentang niat ibu untuk ziarah cucu di Gerik. Yang best about mr hubby ni, tak pernah menghampakan ibu. Boleh aje.... Apa lagi ibupun berkemas macam lipas kudung ( kenapa lipas kudung jadi perumpaan?) Mula-mula kemas rumah dulu. Itu wajib bagi ibu. Kemudian bereskan laundry. Kalau boleh,ibu tak mahu susahkan anak ibu yang tinggal di rumah tu. Kemudian masak lauk yang simple tapi kegemaran Aya, sambal ayam. Lepas tu pack barang untuk dibawa ke Gerik. Kalau bepergiaan dengan cucu, alamatnya barang-barang yang dibawa double daripada biasa. Dah siap kemas...kena tunggu Haziq bangun.. Sikenit ni bangunnya agak lewat terutama kalau kita nak keluar awal pagi. Macam dah jadi habit dia pula.
Macam tu macam ni, pukul 12.30 tgh baru kami bergerak. Cuaca agak panas. Alhamdulillah perjalanan agak smooth. Mr hubby dapat memandu dengan baik. Cucu pula tak meragam. Dia ni suka sight seeing. Kalau dalam kereta, suka memandang ke luar menikmati pemandangan. Tak perlu susu atau makanan. Cukuplah air Ribena . Neneknya, sekejap-kejap zzzzzz.... tapi most of the time jagalah. Kena temankan mr hubby yang memandu, nanti kalau dia terlena susah kami...  Alhamdulillah jam 7 petang lebih kurang kami sudah berada di luar pagar rumah kak long.
Oklah nanti ibu ceritakan aktiviti kami di Gerik dalam entri lain. Pagi ni ada banyak house chore yang perlu dibereskan.
Kepada permata hati, selamat menikmati hujung minggu anda......

Saturday, 23 March 2013

Diari ibu

Selamat pagi..... Pagi ni tak dapat buat banyak kerana ibu jari tangan kanan sakit. Entah ngapa tak tahu. Bisa sangat... Jadi buat kerja yang ringan-ringan aje.
Ibu mengemas almari baju ibu. Sambil tu periksa pakaian yang dah tak sesuai atau dah tak mahu dipakai. Tiba- tiba mata terpaku kat sehelai kebaya  songket berwarna merah. Alahai.... baju yang dipakai pada hari persandingan pada 5 Disember 1976.  Dasyat tu....kualiti kain yang langsung tidak terjejas. Ibu ambil dan tunjukkan kepada hubby. Tahu-tahu aje orang lelaki ni... komennya......... . Usikannya menyebabkan ketawa ibu berpanjangan. Itu belum lagi komen permata hati. "Ma , belum tentu sebahagian badan ma dapat masuk". Ibu tahu kenyataan itu ditujukan kepada saiz ibu yang dan bertukar dari S kepada XL. Bayangkanlah 37 tahun yang lalu dengan sekarang.
Momen indah pada saat itu  mengamit kenangan . Doa ibu moga ikatan kasih sayang kami berpanjangan dan sentiasa dalam redha Allah....

Monday, 18 March 2013

Yang didengar.... ;)

Sifat orang munafik, dia riak apabila bersolat. Kenapa kita bersolat? Untuk mendapat keampunan dan kerana kita ni hamba Allah untuk menunjukkan sifat kehambaan. Sifat riak itu bukan ditentukan oleh orang lain tetapi dalam hati individu itu sendiri. Riak dalam solat menyebabkan solat tidak diterima.

Bacaan fatehah dalam solat , wajib. Justeru perlu dibaca dengan betul. Solat yang sempurna mesti berdasarkan ilmu bukan berdasarkan ikut-ikutan. Kita kena sentiasa review solat kita. Jangan ego seolah-olah sudah cukup mahir kerana dah lama mengerjakan solat. Setiap hari solat kita mesti ditambah nilai. Pastikan solat yang kita buat solat yang ada ilmu. Belajar solat mesti berguru.

Syarat sah solat perlu sentiasa diambil kira. Mengambil wudhu perlu dititikberatkan. Tidak sempurna wudhu ,tidak sah solat. Ibu dan ayah perlu ambil berat solat anak- anak mereka. Selain itu pastikan perkara atau sumber2 yang kita gunakan dalam kehidupan kita datang daripada sumber yang halal. Ini penting untuk mendapatkan solat yang sempurna dan khusyuk.
Rujuk surah Ankabut ayat 45 - perintah Allah tentang solat.
Solat itu ibadah praktikal.
Rujuk juga surah Mukmin ayat 1 hingga 7
Solat wajib diqadha andai pernah ditinggalkan. Mengikut ustaz buatlah setakat mampu. Pakaian dalam solat hendaklah sempurna iaitu menutup aurat.
Memperoleh solat yang berkualiti-
♥Solatlah dalam keadaan merendah diri dan mengharapkan solat kita   diterima oleh Allah.
♥Mohon maaf  jika ada melakukan kesalahan kepada orang lain.
♥Jangan mengulangi maksiat atau dosa-dosa yang pernah dilakukan.
♥Menyayangi orang miskin dan banyakkan bersedekah.
♥Perbanyakkan solat sunat untuk menampung solat wajib.

Setiap kali melakukan solat, tanya diri kita adakah solat kita ketika itu sampai kepada Allah? Belajar dan teruslah belajar untuk memperbaiki kesalahan dalam solat agar solat kita tidak kosong.

Friday, 15 March 2013

Sekilas pandang......

Rasulullah s.a.w bersabda, "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya".

Bahasa paling mudah ialah apabila  kita bercerita tentang keburukan seseorang. Perbuatan ini sering kita lakukan apabila kita marah,jealous atau dah memang sikap yang datang dari jiwa keladak...

Dosa mengumpat hanya layak dimaafkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak memaafkan, dosa itu akan kekal dan bersedialah untuk menerima pembalasannya di akhirat. Ini part yang paling sukar... Andai individu yang diumpat tu ada berdekatan dapatlah kita approach dia nak minta maaf. Itupun kalau ada gut nak buat macam tu.. Ada orang berani buat tapi tak berani tanggung. Kalau orang yang diumpat di luar jangkauan. Macam mana tu???? Kadang2 apabila menonton tv, mulut sedap ajee menyusun ayat -ayat busuk mengata atau mencaci sesedap rasa selebriti atau mana2 individu yang terpacul di kaca tv. Bayangkan di akhirat nanti kita tercari-cari mereka untuk memohon kemaafan. Kalau tidakpun, tunggulah Allah balas perbuatan kita tu dengan mendedahkan keaiban kita kepada orang lain.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Hujarat, ayat 12,
"Wahai orang yang beriman!  Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan
( supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagjan daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang  daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? ( Jika demikian keadaan mengumpat ) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. ( Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut ) dan bertakwalah kamu kepada ALLAH Penerima taubat lagi Maha Mengasihani."

Petikan daripada buku 100 Pesanan Terakhir Rasulullah :

Rasulullah s.a.w pernah ditanya, "Apakah kelakuan yang paling banyak dilakukan sehingga menyebabkan seseorang itu masuk ke syurga?"
" Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak."

Kemudian Rasulullah s.a.w ditanya lagi, "Apakah kelakuan yang menyebabkan seseorang itu masuk ke neraka ?
Rasulullah s.a.w menjawab, "Kejahatan mulut dan kemaluannya."
- Hadis riwayat al-Tirmizi.

Apa-apa yang ibu titipkan dalam entri ini sebenarnya untuk mengingatkan diri ibu dan juga permata hati . Walaupun kita jarang bersua kerana jarak dan kekangan masa, ibu yakin permata hati akan meluangkan masa untuk membaca dan mengambil ikhtibar daripada entri ibu ni.. 

Semoga kita sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan dan sentiasa melihat kekurangan diri agar dapat memperbaiki kelemahan. Insyaallah......

Selamat malam permata hati semoga lenamu dalam rahmat-Nya......

Thursday, 14 March 2013

Diari ibu

Selamat pagi....Dalam waktu yang terbatas, ibu mencuri2 untuk membaca. Tertarik dengan isu yang dikemukakan oleh ketua editor majalah Solusi. Menurut beliau, cinta sesama manusia bukan segala2nya. Cinta yang dipuja2 itu akhirnya sirna setelah diuji dalam alam rumah tangga. Sementara belum dapat, dipuji dan dipuja, tetapi setelah dapat, segala kemanisannya hilang.

Menurut beliau lagi, Imam Ghazali menegaskan bahawa hanya Allah yang berhak menerima cinta kerana hanya Dia yang mempunyai segala sebab untuk dicintai. Jika manusia tidak mencintai Allah iu adalah kerana kurangnya pengenalan manusia terhadap Allah- tak kenal maka tak cinta.

Cinta yang kecil ialah cinta makhluk. Tetapi cinta akan bernilai dan besar hanya apabila didasarka  kepada cinta Allah. Cinta itu yang dilahirkan oleh Allah ke dalam hati. Cinta bukan dari mata turun ke hati, sebaliknya dari hati turun ke mata dan lain2 anggota. Itulah cinta yang benar , suci lagi murni. Itulah cinta yang dikhususkan untuk manusia beriman sesuai dengan martabatnya sebagai hamba Allah dan khalifah.

Cinta itu selamanya indah kerana ia dicipta oleh Allah - Tuhan yang indah suka kepada keindahan......

Wednesday, 13 March 2013

Diari ibu

Aslammualaikum dan selamat pagi.. Bersyukur dengan nikmat-Mu . Pagi ini diberi kesihatan untuk memulakan kehidupan seperti hari2 yang lalu. Rasa sedih masih menyelubungi jiwa ibu dengan berita gugurnya seorang lagi anggota keselamatan negara kita dalam pertempuran dengan militan di Lahad Datu Sabah dalam Ops Daulat. Mudah2an rohnya di tempatkan bersama para syuhadah.