Entri hari ini nak promote diri sendirilah. Khas untuk tatapan anak-anak yang dikasihi. Mungkin ada sisi lain ibu yang anak-anak tidak mengetahui ataupun ibu terlupa nak beritahu. Sebenarnya kami suka berkumpul apabila ada peluang. Selain bercerita hal terkini keluarga masing-masing, kami suka menatap foto-foto lama kami. Ketika inilah keluar pelbagai cerita atau peristiwa yang berlaku di sebalik foto tersebut. Suasana itu mengimbau kembali zaman kanak-kanak atau remaja masing-masing. Gelak tawa sehingga berair mata. Ingat anak-anak ketawa ni ada batasannya. Nabi Muhammad sudah berpesan. Jangan lupa itu. Entri ini juga ibu nak berkongsi dengan dua orang adik kesayangan ibu.

Abah ibu seorang tentera masa mudanya. Zaman kanak-kanak ibu dihabiskan dalam kem tentera. Seingat ibu sehingga ibu tamat persekolahan tingkatan lima, ibu masih menetap di dalam kem tentera. Sudah biasa melihat pakaian celoreng dan senjata yang mereka pikul. Gelagat perajurit-perajurit muda yang sering mengurat kami sudah menjadi perkara lumrah. Kadang-kadang kami layan juga tetapi tetap ada batasannya. Abah ibu garang orangnya. Apabila sepasanng matanya dibesarkan dan menjadi merah, lebih baik berundur. Jika tidak, tali pinggang tenteranya akan melilit kaki kami. Ibu ada dua orang adik perempuan. Ketika remaja kami sangat rapat. Banyak rahsia kami simpan bersama. Sehingga kini kami masih akrab seperti dahulu. Emak ibu menjual kuih-muih dan nasi lemak untuk menambah pendapatan keluarga. kami semua ada peranan masing-masing bagi menjayakan bisnes emak. Abang dan adik-adik lelaki akan menguruskan jualan. Manakala kami yang perempuan akan membantu emak membuat kuih. Berkat tunjuk ajar emak kami cekap membuat kuih-muih tempatan ni. Ada masa kami yang perempuan diminta menghantar hasil jualan ke kantin tentera. Masa ini berlaku pelbagai peristiwa lucu. Bayangkan sepanjang perjalanan ke kantin, kami akan melalui berek-berek bujang. Mereka akan keluar beramai-ramai sambil bersorak. Pernah adik-adik ibu disembunyikan dalam almari . Ibu yakin senario ini sudah tidak wujud lagi dalam kem tentera sekarang.

Ketika abah bertugas di Kota Kinabalu, kami sekeluarga berpeluang mengikutinya. Berpindahlah kami ke sana. Emak masih meneruskan bisnesnya secara kecil-kecilan. Ketika itu kami semua sudah meningkat dewasa. Ibu meneruskan pelajaran ibu sehingga tamat tingkatan lima. Ketika itu ibu sudah ada teman istimewa. Kami selalu belajar bersama-sama di perpustakaan. Emak dan abah tahu tetapi mereka tidak pernah bertanya apa-apapun. Jauh di sudut hati ibu,ibu tahu mereka tidak begitu gembira. Berbeza situasi ketika itu jika dibandingkan dengan situasi sekarang. Ibu dan anak-anak lebih telus . Perhubungan ibu dengan teman ibu itu putus begitu sahaja setelah ibu dan keluarga pulang ke Semenanjung. Alhamdulillah setelah empat puluh tahun berpisah, kami bertemu kembali. Bertemu dalam suasana yang berbeza. Kami berdua sudah ada status baru iaitu atuk dan nenek. Maha Pencipta empunya rahsia. Kehidupan kita disusun cantik. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ibu berharap teman ibu itu, akan terus berbahagia dengan keluarganya dan tetap menjadi sahabat ibu.

Setelah tamat persekolahan, ibu mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim di Johor Bahru. Sepanjang dua tahun mengikuti kursus tersebut, banyak pengalaman menarik yang ibu peroleh. Maklumlah ketika itu baru berusia 20 tahun. Masih bersemangat dan energetik. Setelah tamat berkursus ibu mendirikan rumah tangga dengan seorang tentera juga. Hj. Muslim nama suami ibu. Lima orang cahaya mata lahir atas dasar kasih sayang kami. Kini tiga puluh lima tahun usia perkahwinan kami.

Sepanjang menjadi pendidik, ibu telah bertukar ke beberapa buah sekolah di tanah air. Itupun kerana mengikut suami bertukar kerana tugas. Sekolah pertama tempat ibu bertugas ialah di Labis,Johor. Ibu pernah mengajar di Kuala Perlis, Perlis. Sekolah terakhir tempat ibu bertugas ialah SRK Port Dickson. Ketika berusia lima puluh tahun, ibu memohon untuk bersara pilihan. Sebenarnya ibu sayang dengan kerjaya ibu tetapi kasih ibu terhadap teman hidup mengatasi segalanya. Suami ibu telah bersara dahulu dan sering bersendirian di rumah. Jadi ibu mahu menemaninya tambahan pula kesihatannya tidak menentu.


Alhamdulillah ibu tidak membuat keputusan yang salah. Ibu dapat menikmati kehidupan yang berbaki ini lebih bahagia di samping suami, anak-anak dan cucu-cucu. Pada 2004, anak ibu kak long telah melangsungkan perkahwinannya. Beberapa minggu selepas majlis itu, kami telah menunaikan tuntutan Rukun Islam yang ke 5. Alhamdulillah diberi peluang untuk menjadi tetamu Allah.
Ada kalanya, ibu rindu akan teman-teman yang pernah bertugas bersama. Mujurlah ada kemudahan teknologi masa kini . Kami sering berhubung jika ada masa. Apabila bertemu anak-anak didik yang sudah berjawatan atau berkeluarga , gembira dan bangga dalam hati ibu. Mereka anak-anak didik yang budiman tidak lupa kepada guru yang pernah mendidik mereka.
Sudah hampir enam tahun ibu bersara. Walaupun tidak berada dalam dunia pendidikan lagi, ibu tetap mengikuti perkembangan pendidikan negara. Ibu ada lebih banyak masa untuk membaca. Itulah minat ibu sejak kecil. Bahan bacaan, ibu pelbagaikan agar tidak bosan. Ibu gemar membuat catatan selepas membaca. Anak ibu, kak long mencadangkan agar ibu punya blog sendiri supaya ibu dapat menulis dan menyimpan catatan dengan lebih baik. Akhirnya lahirlah "Bicara Hati Ibu" ini dengan bantuan kak long. Ibu gembira kerana blog ini mendekatkan ibu dengan anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Itulah fokus ibu sebenarnya.
Alhamdulillah. Syukur ibu ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya masih dapat menikmati kehidupan yang sihat dan bahagia di samping insan yang ibu kasihi. Mudah-mudahan kita akan tetap berkasih sayang sehingga dijemput kembali oleh Maha Pencipta kita.
No comments:
Post a Comment