Saturday, 14 April 2012


Sudah dua hari ibu berada di rumah anak ibu, Rifhan. Ibu kerap ke sini untuk bertukar angin. Ibu suka akan suasana di negeri Melaka ini. Suasana kampung yang nyaman dan masih mengekalkan budaya tradisional sering merangsang minda ibu untuk mengimbau kembali zaman kanak-kanak ibu. Setiap kali ibu ke sini, Rifhan pasti menjadi tourist guide ibu.

Kami akan meronda ke banyak lokasi sambil menikmati keindahan tempat-tempat tersebut. Walaupun mengekalkan ciri-ciri tradisonal, negeri Melaka mempunyai infrastruktur yang moden dan tersusun. Mempunyai banyak laluan yang dapat membantu mengelakkan kesesakan jalan raya pada waktu kemuncak. Ibu berpendapat senario itu yang menjadi keutamaan kita dalam kehidupan yang hectic ini.
'Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau'. Itulah slogan negeri Melaka. Buatlah justifikasi sendiri apa yang dimaksudkan dengan slogan tersebut. 


Tanjung Bidara merupakan sebuah pantai yang terkenal di negeri Melaka dalam daerah Alor Gajah. Pantai Tanjung Bidara terletak bersebelahan dengan Kem Terendak, sebuah kem tentera. Pantai yang terletak 10 km dari bandar Masjid Tanah ini merupakan pantai perkelahan yang terkenal di negeri Melaka. Tiap kali melalui simpang  untu ke Tanjung Bidara, ibu akan singgah di sebuah gerai yang menjual kuih-kuih tempatan dan makanan lain. Yang menjadi kegemaran kami ialah 'coconut shake'. Minuman yang dapat menghilangkan dahaga ini adalah campuran isi kelapa dan susu. Enak tetapi perlu hati-hati kerana isi kelapa itu bercampur dengan bendasing yang buat kita rasa kering tekak.
Daerah Alor Gajah ini terletak lebih kurang 24 km dari bandar Melaka. Mengikut sejarah yang ibu baca,Alor Gajah pada mulanya didiami oleh orang Minangkabau pada kurun ke-12. Kini daerah Alor Gajah sudah pesat membangun. 
 
Kita boleh ke Menara Taming Sari untuk melihat panorama indah di sekitar negeri Melaka. Dibuka sejak tahun 2006, menara berketinggian 110 meter ini, reka bentuknya diilhamkan daripada sebilah keris Taming Sari kepunyaan Hang Tuah. Suasana malam di sekitar bandar Melaka dapat dinikmati dari atas Menara Tamimg Sari.


Muzium Samudera merupakan replika kapal Flor de La Mar .Muzium Samudera ini terletak di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka. Dibina berdasarkan replika Kapal Portugis berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar. Turut dipamerkan ialah lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka.


Ibu sudah penat bercerita. Ibu berpendapat lebih baik anak-anak berkunjung sendiri ke Melaka. Ada pepatah yang mengatakan jauh berjalan banyak pengalaman,lama hidup banyak dirasa.

No comments:

Post a Comment