Kali ini entri ibu penuh 'feeling'. Bukan macam lirik lagu Feeling nyanyian Morris Albert atau Frank Sinetra atau Andy William ataupun Rayy Conif.
Hari ini,tanggal 9 APRIL adalah hari lahir suami ibu. Hj Muslim bin Hj Mad Saman. Tiada kek, tiada hadiah dan tiada kad ucapan. Ibu sudah memikirkan bagaimana cara untuk menyambutnya. Masa muda-muda dahulu, ibu selalu mengirimkan kad ucapan yang ibu alamatkan ke tempat kerja beliau. Walaupun kami tinggal serumah ibu suka dengan cara itu. Suami ibu juga suka. Tiap kali mendapat kad,beliau pulang dengan senyuman yang membahagiakan ibu apabila melihatnya. Apabila usia kami meniti senja, anak-anak pula mengambil alih tugas membuat kejutan. Apa signifikan menyambut hari lahir ini? Tiada kepentingan dari sudut agamapun. Tetapi, ibu memandangnya dari sudut nilai-nilai kasih sayang. Apa sahaja kita sanggup lakukan untuk menunjukkan penghargaan kepada orang-orang yang kita kasih asalkan tidak membelakangi hukum dan syariat.Pagi ini seperti biasa, ibu dan suami bersiap-siap untuk menunaikan solat sunat fajar. Lazimnya suami ibu akan ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Mahu hidupkan sunnah Nabi Muhammad saw yang kita kasihi.
Ibu sedar, suami ibu tidak akan membaca entri ibu ini. Dunia beliau bukan dunia alam maya. Tetapi, ibu tetap berasa puas kerana dapat menyatakan isi hati ibu di ruang maya ini. Fokus entri ibu adalah untuk rujukan anak-anak. Ibu mahu nyatakan kepada mereka bahawa kasih sayang dapat diungkapkan dengan apa cara sekalipun.
Inilah ceritera kasih sayang ibu kepada seorang lelaki yang bergelar SUAMI..........
No comments:
Post a Comment