Wednesday, 21 March 2012

Angah, abang ngah, ayah angah. Itulah panggilan hormat oleh adik-adik dan anak buah untuk anak bujang ibu,Nurman.Dia anak ibu yang kedua. Beza umurnya dengan kak long hanya satu tahun sahaja.Ketika kecil mereka sangat akrab. Ibu masih ingat lagi,ketika mereka berpisah kerana kak long dijaga oleh neneknya.Abang ngah asyik merengek sahaja. Kami  mengambil semula kak long walaupun terpaksa berdepan dengan kerenah atuk dan nenek mereka. Berminggu-minggu lamanya atuk dan nenek mereka merajuk. Alhamdulillah ibu dan suami tidak pula bersikap demikian apabila sudah bergelar nenek dan atuk.

 Anak bujang ibu ini hebat juga. ketika bersekolah rendah di Perlis,dia merupakan pemain bola sepak untuk pasukan negeri. Sokongan padu yang ibu berikan kepadanya memberi peluang kepada ibu berkenalan dengan jurulatihnya,Cikgu Zul. Seorang anak muda yang sangat dedikasi dengan tugasnya.


Masa remaja, muzik underground jadi kegilaan. Ibu memantau dari jauh agar tidak berlebih-lebih sangat.Apabila dewasa,
 genre muziknya tetap sama hanya attitude sahaja sudah bertukar.Lebih chill... ( meminjam kata anak-anak muda ).


Jika sekali pandang, jejaka ini nampak tegas dan panas baran. Tetapi ibu tahu ....jauh di sudut hatinya ada kelembutan dan kasih sayang yang telah kami semai sejak dia kecil. Selang sehari dia akan menghubungi ibu untuk bertanya khabar. Ibu cukup terhibur dengan ayat-ayat lucunya. 


Sentiasa mahu kelihatan segak dan bergaya.Sejak kecil lagi sudah ada sikap itu. Dia selalu jadi orang yang terakhir bersiap. Sehingga kini,ibu perhatikan Nurman masih mengekalkan sikap itu. Ibu tidak lupa menitipkan pesanan agar tidak ikut pepatah popular ini, 'Biar papa asalkan bergaya'.

Masih bujang walaupun sudah berusia awal tiga puluhan. Belum ada jodoh katanya. Risau juga ibu apabila memikirkannya. Bekerja di ibu kota dan tinggal bersendirian. Kalau sudah berumahtangga pasti ada yang menguruskan keperluannya. Doa ibu, mudah-mudahan dia bertemu jodoh sebelum kami dijemput kembali......

No comments:

Post a Comment