Cuti sekolah datang lagi. Ketika anak-anak masih bersekolah dahulu, ibu sering pening kepala apabila cuti sekolah tiba.. Pening mengatur bagaimana anak-anak yang seramai lima orang itu dapat manfaat daripada cuti sekolah. Memandangkan ibu seorang guru,waktu cuti adalah masa untuk kami menyiapkan pelbagai tugas yang tidak dapat dibereskan pada hari-hari persekolahan. Ini bermakna anak-anakku sayang tidak berpeluang ke mana-mana.Ibu akan membawa anak-anak ke kedai buku untuk mendapatkan buku-buku latihan dan sebagainya. Ibu tentukan dateline supaya latihan yang ada disiapkan. Pada masa yang sama ibu sediakan juga apa sahaja permainan yang dapat membuat mereka sibuk. Tinggallah mereka di rumah. Ibu pula, ke sekolah. Pada masa itu, komputer belum popular. Jadi,ibu tidak perlu risau tentang masalah disiplin mereka. Paling terukpun mereka bertengkar berebut saluran tv ataupun tidak membuat latihan yang disuruh.Setelah puluhan tahun berlalu, ibu melalui suasana yang sama. kini cucu pertama ibu yang sudah bersekolah pulang bercuti ke rumah nenek A ( ibulah tu....). Ibu dan uminya membuat pelbagai rancangan untuk Batrisya, Aisya dan sepupu mereka Haziq. Sukar rupanya mengurus tiga orang kanak-kanak aktif. Beberapa hari di rumah nenek A bagai diserang garuda. Setiap waktu ada sahaja yang menjerit,menangis dan ketawa.Ada sahaja yang hendak direbut. Ada sahaja yang hendak dibuat. Kalau yang dirancang itu berupa ilmiah sedikit, jawabnya tidak begitu berjaya. Apabila diajak keluar,riuhnya tidak terkira. Akhirnya ibu dan umi yang sesak nafas mengawal keadaan. Namun begitu ibu dan umi tetap gembira kerana dapat meraikan mereka. Itulah penangan kasih ibu.

No comments:
Post a Comment