Wednesday, 21 March 2012

"Esok kita makan nasi goreng untuk sarapan ya.......", jerit anak bongsu ibu dari dalam biliknya. Ibu mengiyakan sahaja permintaan anak gadis kesayangan kami. Jarang ibu dan suami menghampakan anak-anak jika berkaitan dengan makanan. Bahan-bahan untuk memasak sentiasa ada dalam peti sejuk. Kalau tidak ada bahan yang diperlukan, pandai-pandailah kami sesuaikan dengan apa yang ada. Yang diperlukan cuma inisiatif dan kreativiti.

Apa yang mahu ibu kongsikan adalah perbezaan sikap anak-anak ibu dan sikap ibu semasa seusia mereka. Mereka lebih terbuka dan telus. Mudah meluahkan perasaan. Berani mengeluarkan pendapat. Ibu menerima sikap ini secara positif. Apabila berlaku perbezaan pendapat, anak-anak dapat meluahkan apa yang terbuku di hati tanpa rasa takut. Ibu tidak mengganggap perilaku mereka biadab.Selalunya selepas sesi 'bertikam lidah' kami jadi lebih akrab dan saling menghormati. kami lebih faham kehendak masing-masing.

Semasa ibu seusia mereka, kalau hitam kata mak dan abah,hitamlah kata ibu. Jika tidak bersetuju, makan hatilah jawabnya. Andaikata ibu menjerit seperti apa yang anak ibu buat tadi, alamat sampailah pelempang sulung mak ibu. Apapun cara atau kaedah mendidik anak-anak,keikhlasan dan niat itu yang menentukan keberkatan. Kredit kepada mak dan abah yang telah mendidik ibu sehingga menjadi ibu yang disayangi anak-anak.

No comments:

Post a Comment