Rifhan membawa maksud kemewahan. Namanya istimewa. Sudah tentu orangnyapun istimewa. Ini anak ibu yang ke empat. Dia lebih popular dengan panggilan Aan. Anak buah panggil Mak An. Berkulit hitam manis.Senyumannya menawan. Tapi awas! Senyumannya bertempat.
Berpegang kepada prinsip dan tidak mudah terpengaruh oleh orang lain.Ketika kecil tidak banyak kerenah.Senang kerja ibu. Jika dimarahi kerana melakukan kesalahan,Aan akan berdiri tegak menanti hukuman. Ibu tidak perlu mengejarnya untuk dirotan. Sebab itu ibu kata mudah menguruskan Aan. Bijak dalam Matematik dan pandai mengaji. Aan bersekolah di tempat ibu mengajar. Semua tindak-tanduknya ibu tahu. Semua anak ibu yang bersekolah di tempat ibu mengajar,sudah diberi amaran agar menjaga tingkah laku. Mesti jaga nama baik ibu sebagai pendidik. Nampaknya Aan akur dengan pesanan ibu. Banyak pencapaian yang diperoleh ketika zaman persekolahan. Dia pernah mewakili koperasi sekolah dalam satu pertandingan sehingga ke peringkat negeri.
Tamat persekolahan, Aan mendapat banyak tawaran belajar. Antaranya di UTM. Memandangkan kursus yang ditawarkan tidak relevan di pasaran maka dia telah memilih untuk mengikuti bidang kejuruteraan di sebuah institusi kerajaan. Setelah tamat belajar Aan bertugas sebagai anggota kastam di Pelabuhan Klang.Setelah beberapa bulan bertugas Aan melangsungkan perkahwinan dengan teman sekuliah dahulu. Noor Hazelan, menantu ibu berasal dari Penanti. Orangnya kaya dengan budi bahasa dan lembut tutur bicaranya. Mudah-mudahan menjadi suami yang soleh dan dapat melindungi Aan sehingga akhir hayat. Insyaallah......
Kehadiran cahaya mata pertama disambut dengan gembira. Bayi mongel ( tahuke maksud perkataan ini? carilah dalam kamus dewan ) menjadi kesayangan ayah dan ibunya. Semasa Aan berkursus di DCA, ibu mengambil tanggung jawab menjaga Noor Haziq. Kini Aan bertugas sebagai Pegawai trafik udara di salah sebuah lapangan terbang di Malaysia. Haziq masih bersama ibu dan menjadi kesayangan keluarga.

No comments:
Post a Comment